foto: Facebook

ATLANTIC CITY – Sebuah pesawat milik Sprit Airlines terbakar semasa berada di landasan Lapangan Terbang Atlantic City menyebabkan lebih 100 penumpang dan kru dibawa keluar daripada pesawat tersebut, menurut para pegawai lapangan terbang dan syarikat penerbangan.

Para pegawai syarikat itu percaya penerbangan 3044 dari Atlantic City ke Fort Lauderdale terlanggar burung, kata syarikat penerbangan tersebut dalam kenyataan, lapor nj.com.

“Kapten menghentikan pesawat dengan selamat, menerima petunjuk kerosakan pada enjin dan mengarahkan keluarkan (penumpang) mengikut prosedur standard,” kata Spirit Airlines dalam kenyataan.

Menurut Lembaga Pengangkutan Jersey Selatan, dalam kejadian pada jam 5.49 petang itu kesemua 109 orang, termasuk 102 penumpang dan tujuh kru, selamat dikeluarkan daripada pesawat.

Dua individu dilapor mengalami kecederaan, kata pihak berkuasa dalam kenyataan.

Lapangan terbang tersebut ditutup pada sebelah petang ketika para pegawai Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan melakukan siasatan, kata pihak berkuasa itu. – Agensi