Satu lot sawah telah ditambak untuk membina rumah kediaman.

MERSING – Penduduk kampung di Air Papan, di sini, memohon campur tangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar agar kawasan sawah padi sedia ada dikawal sepenuhnya sebelum lebih ramai membina kediaman tanpa mempedulikan status tanah yang telah diwartakan sebagai kawasan penanaman padi.

Persoalan yang timbul kini siapa yang meluluskan pertukaran status tanah sehingga mengabaikan keistimewaan tanah warisan yang telah diusahakan sejak turun temurun?

Bagaimana pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh memberi kelulusan membina rumah termasuk membekalkan bekalan air dan elektrik kepada bakal pemilik rumah di atas tanah sawah

Seorang pesawah padi yang lahir dan dibesarkan di kampung terbabit, Daud Ahmad ketika ditemui berkata, tanah sawah di Air Papan adalah warisan yang harus dipelihara.

“Pihak berkuasa sepatutnya menjaga warisan ini untuk generasi akan datang yang mungkin tidak kenal pokok padi yang menghasilkan beras.

“Saya sebagai pesawah di sini memohon campur tangan pihak istana agar memastikan tidak ada sesiapa yang membina kediaman di atas tanah sawah ini selain untuk mengusahakan tanaman padi.

Daud Ahmad

“Saya lahir dan dibesarkan di sini dan masih meneruskan warisan tinggalan orang tua hingga ke hari ini tetapi apabila melihat ada yang mula menambak sawah untuk membina rumah, saya jadi tak sedap hati,” katanya yang merupakan bekas ketua kampung Tenglu Besar, kampung bersebelahan Air Papan.

Tambahnya, sekiranya pihak berkuasa terus berdiam diri, tanah warisan ini akan pupus satu hari nanti dan sawah padi yang menjadi antara tarikan pelancong akan lenyap.

“Bukan nak salahkan PBT tetapi melihatkan keadaan semasa, sesuatu perlu dilakukan dan ketegasan menghalang pencerobohan tanah berstatus sawah wajib dilaksanakan,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Jefri Hamzah berkata, ada juga pesawah yang menjual tanah sawah kepada orang luar yang kemudiannya bercadang untuk membina rumah kediaman.

“Saya memang menentang keras jika beli sawah untuk bina rumah sedangkan sawah padi adalah sesuatu yang unik di kampung Air Papan ini selain pantainya.

“PBT kena buat pemantauan sepenuhnya ke atas sawah padi di kampung ini dan tidak hanya menutup mata tanpa melihat pencerobohan status yang dilakukan oleh pemilik tanah.

“Cukuplah yang dah buat rumah dan janganlah ditambah lagi dengan kediaman lain kerana kami sebagai penduduk tidak rela melihat keunikan kampung ini dimusnahkan begitu sahaja,” jelasnya

Jefri Hamzah

Menurut Jefri, apa yang pasti, semua geran tanah di kawasan tersebut telah diwartakan sebagai kawasan untuk tanaman padi sahaja.

Jefri yang sependapat dengan Daud berharap agar Sultan Ibrahim dapat mencampuri urusan ini demi memelihara warisan dan keindahan kampung ini.

“Rakyat tahu Tuanku Sultan Ibrahim adalah seorang yang cintakan warisan seperti sawah padi dan sehubungan itu, saya berharap Tuanku dapat melindungi warisan ini daripada pupus,” katanya.

Untuk rekod, tanah yang diwartakan untuk tanaman padi ini bekeluasan kira-kira 170 ekar.

Penduduk telah mengusahakan tanaman padi di sini lebih 120 tahun lalu dan masih mengusahannya hingga ke hari ini.

Sawah padi di kampung ini sentiasa mendapat kunjungan pelancong tempatan dan asing ketika mula menanam sehingga musim menuai setiap tahun.  – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast