Senior Minister of Education Datuk Radzi Jidin teachers students school Covid-19 vaccine
Datuk Radzi Jidin

DUNGUN – Ketetapan memulakan takwim persekolahan sesi 2022 pada Mac depan dibuat berdasarkan perbincangan dan penelitian yang mendalam, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, kementerian telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk guru-guru, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di beberapa negeri, pengetua, guru besar dan pakar-pakar serta persatuan perguruan bagi memastikan ketetapan tersebut mengambil kira pelbagai aspek.

“Ketetapan ini diambil supaya kita dapat gunakan sebaiknya tempoh Januari dan Februari ini untuk memastikan anak-anak kita betul-betul bersedia sebelum mereka naik ke kelas berikutnya.

“Kami yakin pendekatan ini memberi ruang yang cukup kepada anak-anak kita untuk diasah dan dipastikan supaya sekurang-kurangnya mereka dapat menguasai tahap penguasaan minimum yang diperlukan sebelum mereka naik ke kelas berikutnya,” katanya kepada pemberita ketika meninjau sesi persekolahan secara bersemuka di Sekolah Menengah Sains Dungun, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai ketetapan kementerian untuk memulakan takwim persekolahan bagi sesi 2022 Mac depan yang menerima bantahan segelintir pihak.

Radzi sebelum ini dilapor berkata, Takwim Penggal dan Cuti Persekolahan 2021, yang sepatutnya berakhir pada Disember tahun ini, akan dilanjutkan hingga Mac 2022.

Menurut Radzi ia membawa maksud peralihan darjah atau tingkatan akan berlaku pada Mac, sekali gus memberi tempoh dua bulan untuk proses intervensi, sekiranya ada murid-murid keciciran. – Bernama