Foto https://bwfsudirmancup.bwfbadminton.com/

KUALA LUMPUR – China menepati ramalan apabila merangkul gelaran Piala Sudirman buat kali kedua berturut-turut dan ke-12 secara keseluruhan selepas menewaskan Jepun 3-1 dalam aksi final di Vantaa, Finland, malam tadi.

Negara Tembok Besar itu membuktikan pasukan itu masih kuasa besar badminton dunia apabila muncul juara sebanyak 12 kali sejak kejohanan berpasukan campuran itu diperkenalkan pada 1989.

Selain China, dua negara negara yang pernah menjulang piala itu adalah Jepun sebanyak empat kali dan Indonesia (satu kali).

China hadir pada kempen kali ini sebagai juara bertahan selepas muncul juara pada edisi 2019 di Nanning.

Dalam aksi final itu, beregu lelaki China, He Ji Ting-Zhaou Hau Dong memberi mata pertama buat pasukan itu selepas menewaskan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 21-17, 14-21, 21-16.

Namun, Jepun bangkit menyamakan kedudukan menerusi pemain perseorangan wanita mereka, Akane Yamaguchi yang menewaskan Chen Yu Fei 21-19, 21-16.

Pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota terus dibelenggu badi kekalahan apabila tewas di tangan Shi Yuqi yang kembali meletakkan China di depan menerusi kemenangan 21-13, 8-21, 21-12.

Beregu wanita China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan mengesahkan gelaran juara milik pasukan itu apabila mengutip mata ketiga selepas menundukkan Mayu Matsumoto-Misaki Matsutomo 21-17, 21-16. – MalaysiaGazette