HEBOH berkenaan isu sumbangan kerajaan melalui Kementerian Kewangan memberi sumbangan sejumlah wang yang agak besar iaitu RM 15 Juta kepada 63 sekolah persendirian Cina yang dibawah kelolaan Dong Zong. Keputusan ini boleh menyebabkan liabiliti kepada kerajaan dan memungkinkan pengurangan keyakinan rakyat terutamanya orang Melayu terhadap kerajaan hari ini apabila kerajaan gagal melihat keutamaan sebenar.

Agak melucukan apabila antara justifikasi kelulusan sumbangan ini oleh kerana sumber kewangan sekolah-sekolah pensendirian cina (bukan SKJC) terjejas kerana pandemik
Covid19 . Adakah ini tanggungjawab hakiki kerajaan buat sekolah-sekolah Persendirian seliaan Dong Zong iaitu sebuah entiti yang boleh dianggap anti-integrasi kebangsaan apabila kerap kali melawan arus dan menidakkan dasar-dasar kerajaan dalam pendidikan kebangsaan.

Cukup-cukuplah dengan tindakan "bagai menatang minyak yang penuh" buat Dong Zong sejak dulu lagi kerana "track record" mereka amatlah buruk dengan kerajaan walaupun kerajaan memberi pelbagai " keistimewaan" selain dari peruntukan dana wang ringgit berjumlah besar saban tahun, contohnya kerajaan juga telah memberi peluang kepada pelajar-pelajar lepasan UEC untuk kemasukan ke IPG misalnya walaupun UEC jelas bukanlah aspirasi kerajaan dan silibus mereka terbukti seringkali menyeleweng fakta(seperti penyelewengan fakta di Buku Teks Sejarah UEC).

Tindakan-tindakan populis sebegini bukannya dapat "menjinak" Dong Zong untuk berintegrasi dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan tetapi membuatkan mereka lebih angkuh dan kuat untuk menolak usaha dan idea-idea kerajaan pada masa hadapan. Sejarah telah membuktikan, maka tidak sedikitpun menjadi kehairanan jika ianya berulang "skrip" yang sama.

Alangkah baiknya jika kerajaan menyalurkan RM 15 juta tersebut kepada sekolah-sekolah tahfiz dan pondok yang sememangnya kebanyakannya serba kedaifan serba kekurangan dari segi sumber kewangan dan juga infrastruktur yang sangat uzur. Jauh beza bagai langit dan bumi; jika dibandingkan dengan bangunan-bangunan Sekolah-sekolah persendirian Cina yang moden, berkonkrit dengan kelengkapan pendingin hawa di bilik darjah.

Sekolah-sekolah tahfiz dan pondok banyak terpaksa memohon sumbangan orang ramai untuk terus bernyawa; dan banyak yang terpaksa tutup operasinya kerana terpaksa menanggung tunggakan bil utiliti yang beribu ringgit yang biasanya disebab ramai ibu bapa pelajar tak mampu membayar yuran anaknya tambahannya pula di kala waktu pandemik yang menyebabkan kebanyakan ibu bapa hilang punca pendapatan. Secara umumnya majoriti ibu bapa pelajar sekolah-sekolah Tahfiz dan Pondok ini berlatar belakangkan golongan B40 dan M40 manakala ibu bapa sekolah-sekolah pensendirian kelolaan Dong Zong ini kebanyakannya datang dari golongan T20. Jadi dimana keadilannya?

Adil itu adalah bermaksud meletakkan sesuatu di tempat yang betul. Amatlah tidak wajar sumbangan wang ringgit yang agak besar ini kepada entiti yang bukan menjadi keutamaan dan tanggungjawab kerajaan. Tidak cukup dengan sumbangan khas kepada Sekolah Persendirian Cina kelolaan Dong Zong oleh kerajaan-kerajaan negeri seperti kerajaan Kedah, Perak dan Johor (melalui Yayasan Sultanah Fatimah) sepanjang musim pendemik yang dalam perkiraan saya sudah bernilai jutaan ringgit. Adakah belum cukup?

Diharapkan dengan wujudnya isu ini membuatkan pihak kerajaan terutamanya Kementerian Pendidikan memfokuskan kembali kepada institusi yang menjadi tanggungjawab kerajaan terutamanya membaik pulih dengan lebih proaktif sekolah-sekolah kerajaan yang daif dan yang memerlukan perhatian kerajaan terutamanya di wilayah Sabah dan Sarawak. Selain itu juga, diharapkan juga kerajaan kembali ambil cakna berkenaan "progress" Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) hasil ilham mantan Perdana Menteri ke-6 iaitu Datuk Seri Najib Razak pada tahun 2016.

Apakah perkembangan DPTN ini? Adakah sudah berjaya membantu institusi pengajian tahfiz ini dengan secara "sustainable"? Adakah sudah berjaya membantu institusi tahfiz berdaftar dengan secara proaktif dari segi infrastrukturnya dan sistem kurikulum yang baik. Wujudkah kelulusan peruntukan khas kerajaan kepada sekolah tahfiz yang tidak berdaftar sepanjang musim pendemik terutamanya
dalam tahun 2021 ini? Jika tidak, ini boleh dianggap sebagai suatu amalan "double standard". Jika sekolah persendirian Cina yang jelas bukan kelolaan kementerian pun kerajaan mampu memberi sejumlah peruntukan dana kerajaan yang cukup besar kenapa tidak buat sekolah-sekolah tahfiz yang jauh tidak bernasib baik ini?

Nasihat saya kepada rakan-rakan dalam MCA, janganlah asyik bertindak seolah-olah sebagai "orang dalam" dan "jurucakap" Dong Zong dalam kerajaan. Kalau benar ingin membantu kaum Cina, bantulah golongan B40 Cina yang sepatutnya dibantu di musim pendemik dengan pelan yang lebih strategik. Jika ingin membantu pendidikan orang Cina, buatlah tindakan yang dapat menyebabkan pihak Dong Zong berintegrasi dan bersedia mengimplementasikan semua Dasar Pendidikan Kebangsaan serta sentiasa bernada yang sama dengan aspirasi kerajaan.

Sepatutnya hanya fokus dengan Sekolah Jenis Kebangsaan yang agak raikan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Janganlah asyik menjadi "jurucakap" yang membenarkan segala tindak tanduk "melawan arus" oleh pihak Dong Zong seperti bantahan tulisan jawi dalam buku teks SKJC dan sebagainya. Kalau dari segi bantuan kewangan rasanya sudah berjuta2 peruntukan kerajaan yang disalurkan kepada sekolah-sekolah Cina saban tahun. Jadi adakah hanya dengan tindakan seperti Pro-Dong Zong yang menjadi lubuk undi dari kaum Cina buat MCA?

Saya melihatnya suatu kegagalan setelah sekian lama undi kaum Cina buat MCA semakin menurun walaupun bertahun-tahun bertindak mesra Dong Zong malah 2 kerusi parlimen milik MCA hari ini pun hanya datang dari kerusi majoriti pengundi Melayu. Sepatutnya juga UMNO, MIC dan MCA sebagai parti teras sejak merdeka mewakili 3 kaum utama di negara memfokuskan untuk membuat tindakan yang mampu mewujudkan semua pelajar tanpa mengira kaum dalam satu bumbung di peringkat sekolah agar impian negara bangsa yang sebenar tanpa sebarang skeptikal dalam kalangan rakyat akan tercapai setelah sekian lama kita merdeka.

Muhammad Burhan Syakirin
Mahasiswa Tahun 2, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan
UPSI