Ti Lian Ker

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menubuhkan satu jawatankuasa khas penilaian dan penambahbaikan untuk mengenalpasti semua kelemahan pada temasya sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Paralimpik Tokyo 2020 yang lalu.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Datuk Sri Ti Lian Ker berkata, jawatankuasa tersebut dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KBS akan menilai keseluruhan aspek.

“Jawatankuasa ini akan disertai Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Paralimpik Malaysia, Persatuan Sukan Kebangsaan, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara, panel pakar dan semua pihak berkepentingan.

“Ia dijangka bersidang pada pertengahan Oktober ini bagi memperhalusi program khas jangka Panjang Olimpik dan Paralimpik yang mana akan menjadi fokus kepada program podium sedia ada bagi membolehkan melihat kitaran Olimpik dan Paralimpik yang akan diadakan pada 2024 di Paris seterusnya 2028 di Los Angeles,” katanya ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Julai, Larry Sng Wei Shien (Bebas) berkaitan isu status terkini atlet Olimpik.

Tambahnya, jawatankuasa khas itu akan melihat kaedah, pandangan, cadangan serta maklum balas prestasi kontinjen di kedua-dua temasya Olimpik dan Paralimpik.

“Ia juga sebagai persediaan terhadap program khas jangka panjang Olimpik. Dalam keadaan pandemik, atlet Malaysia tidak dapat menyertai banyak kejohanan memandangkan ada antara kejiohana terpaksa dibatalkan artau ditunda.

“Atlet Malaysia meneruskan latihan sepenuh masa secara kuarantin dengan menggunakan model gelembung sukan sejak Jun 2020 lagi,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, penularan Covid-19 tahun lalu, ia menjadi kekangan buat atlet yang terpaksa diharungi untuk ke temasya Olimpik Tokyo kali ini.

“Daripada 89 pendedahan pertandingan yang diluluskan pada tahun 2020, hanya 32 dapat disertai, manakaka pada tahun 2021, hanya 27 pertandingan pendedahan sahaja sehingga tarikh tamat kelayakan Olimpik 2020 iaitu pada Jun yang lalu,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Lian Ker berkata, atlet Olimpik dan Paralimpik yang berjaya meraih pingat akan diberikan elaun bulanan seumur hidup di bawah Skim Imbuhan Tetap Olimpik.

“Bagi yang memengani pingat emas akan menerima elaun bulanan sebanyak RM5,000, pingat perak RM3,000 dan pingat gangsa akan memperoleh RM2,000.

Sementara itu, jelas beliau, bagi program podium sedia ada, sesi latihan akan diadakan menjurus ke arah sukan olimpik yang akan datang.

“Kementerian akan mula melaksanakan program berasaskan kepada Olimpik dan tempoh akan lebih panjang. Selain itu, ganjaran kepada atlet juga sama iaitu RM1 juta bagi yang memenangi pingat emas, RM300,000 untuk pingat perak dan RM100,000 bagi pingat gangsa.

“Bagi pasukan yang mempunyai kurang lima orang, hadiah adalah RM1 juta bagi pingat emas, pingat perak RM300,000 dan gangsa RM100,000.

“Bagi pasukan yang melebihi lima orang, bagi emas individu memperoleh RM150,000, pingat perak individu RNM40,000 dan pingat gangsa individu adalah sebanyak RM20,000, tiada perbezaan Olimpik dan Paralimpik.- MalaysiaGazette