Mah Hang Soon

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengakui banyak pihak menghadapi kekangan terhadap sistem pengajaran dan pembalajaran di rumah (PdPR) termasuklah masyarakat Orang Asli dan mereka di pedalaman.

Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, untuk menyelesaikan isu tersebut, pihaknya telah melaksanakan banyak inisiatif untuk membantu semua bagi mengurangkan masalah tersebut.

Beliau berkata demikian Ketika menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk Azis Sitin.

Terdahulu, Hang Soon menjawab pertanyaan daripada Senator Ras Adiba Rdzi berhubung apakah tindakan dan usaha kerajaan dalam membantu murid berkeperluan khas yang mengalami masalah sepanjang mengikuti PdPR bagi memastikan tidak berlaku lost generation dalam kalangan kanak-kanak OKU.

“Menyedari pandemik Covid-19 memberi kesan kepada pembelajaran murid, khususnya murid berkeperluan khas (MBK), KPM telah melaksanakan PdPR secara dalam talian, di luar talian dan off-site mengikut kesesuaian guru dan murid.

“Sokongan ibu bapa atau penjaga diperlukan bagi memastikan MBK dapat mengikuti PdPR secara optimum,” katanya.

Jelas beliau lagi, KPM juga telah melaksanakan penjajaran kandungan kurikulum mata pelajaran dengan memberi fokus kepada Kandungan Asas.

“Penjajaran kurikulum ini turut mengambil kira keperluan pembelajaran seperti pengurusan diri dan tingkah laku bagi MBK masalah pembelajaran, mobiliti dan orientasi bagi MBK kurang upaya penglihatan, penggunaan asas bahasa isyarat bagi MBK kurang upaya pendengaran dan pengenalan kepada asas membaca, menulis, mengira (3M) bagi semua kategori MBK.

“Bagi memperkasakan pelaksanaan kurikulum, KPM juga menambah baik sokongan pembelajaran dengan memperkenalkan Program Pemerkasaan Pelaksanaan Kurikulum (KPMPerkasaKU).

“Program ini bertujuan memastikan pembelajaran pemulihan bagi murid yang belum menguasai literasi dan numerasi,” katanya.

Beliau menambah, pelbagai sokongan bagi mengukuh dan memperkayakan penguasaan kandungan mata pelajaran disediakan untuk semua murid termasuk MBK di sekolah rendah dan sekolah menengah.

“MBK juga boleh mengikuti pelbagai rancangan TV Pendidikan melalui saluran DidikTV KPM, TV Okey RTM dan Tutor TV Astro.

“Mereka juga boleh mengakses pelbagai bahan PdP melalui pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa),” katanya.

Hang Soon berkata, KPM akan memantau penyertaan MBK dalam PdPR melalui Sistem Pelaporan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (SPdPR) secara realtime.

“Hal ini membolehkan pihak sekolah melaksana intervensi yang bersesuaian bagi memastikan penyertaan MBK adalah secara optimum.

“Pada masa sama, MBK di sekolah pendidikan khas dan program pendidikan khas integrasi (PPKI) diberi keutamaan untuk kembali ke sekolah bermula 3 Oktober 2021,” katanya.

Jelasnya, KPM yakin kerangka holistik ini merupakan satu langkah komprehensif bagi memastikan pembelajaran MBK dapat dilaksanakan secara berkesan.

Hari ini bermula sesi pembelajaran secara bersemuka bagi negeri Selangor, Melaka, Kuala Lumpur dan Putrajaya berdasarkan ketetapan pengoperasian negeri Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara.

KPM dalam kenyataan pada 30 September lalu memaklumkan kementerian itu menetapkan jika sesebuah negeri beralih ke fasa seterusnya, pengoperasian institusi pendidikan bawah KPM mengikut ketetapan fasa baharu hanya akan dilaksanakan selepas dua minggu daripada tarikh peralihan ke fasa berkenaan.- MalaysiaGazette