Pemandu Myvi dan wanita yang terjatuh dari kereta berkenaan ketika masih bergerak atas jalan diminta supata tampil buat laporan untuk disiasat polis Shah Alam.

SHAH ALAM – Polis Shah Alam meminta kerjasama seorang pemandu kereta Perodua Myvi dan penumpang wanitanya yang terjatuh ketika kenderaan itu masih bergerak supaya membuat laporan polis bagi membantu siasatan berkaitan insiden itu.

Kegagalan tampil akan menyebabkan kedua-dua individu akan dikesan polis berdasarkan nombor plat pendaftaran kenderaan Myvi itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kejadian di Jalan Unisel 7, di sini, yang tular itu berlaku pada jam 2.40 petang Ahad lalu.

“Siasatan awal mendapati dalam klip video tersebut, sebuah kenderaan Myvi telah memperlahankan kenderaan serta memasang lampu kecemasan ketika sampai di persimpangan lampu isyarat Jalan Unisel Seksyen 7 Shah Alam.

“Kemudian didapati seorang wanita telah cuba keluar dengan membuka pintu kereta tersebut menyebabkan dia terjatuh keluar semasa kereta Myvi itu masih lagi bergerak perlahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, semakan mendapati tiada sebarang laporan polis dibuat oleh mana-mana individu berhubung kejadian video yang tular dalam laman media sosial.

“Justeru, wanita serta pemandu kereta Myvi berkenaan diminta supaya membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

“Malah, saksi awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini, bolehlah menyalurkan maklumat berkenaan kepada pihak polis untuk membantu siasatan.

“Pada masa yang sama, orang ramai disarankan untuk tidak membuat sebarang spekulasi tanpa fakta kes yang tepat terhadap video yang tular ini,” ujarnya.

Ditanya jika kegagalan kedua-dua individu itu tampil memberi kerjama, beliau menegaskan polis akan mempergiatkan tindakan mengesan mereka menggunakan nombor plat kenderaan mereka.

Rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berdurasi seminit menunjukkan kereta yang bergerak perlahan ketika menghampiri simpang lampu isyarat.

Bagaimanapun tiba-tiba pintu kereta Myvi di sebelah penumpang hadapan dibuka dan seorang wanita terjatuh dalam keadaan terduduk atas jalan raya sebelum kereta Myvi diberhentikan serta-merta. – MalaysiaGazette