Anak sungai Sebulung tetap mengeluarkan bau kurang enak di kalangan penduduk sekitar.

JOHOR BAHRU – Bukan sahaja air anak sungai berkeladak, malah bau busuk dan dipenuhi sampah sarap termasuk plastik sampah, botol plastik serta kotak makanan terapung dan mencemari anak sungai Sebulung, di sini.

Walaupun keadaan itu bertambah pulih, tetapi bau busuk yang kuat mencetuskan rasa kurang selesa penduduk di kawasan terlibat.

Penduduk, Ahshamari Abdullah, 39, berkata, keadaan itu dianggap ‘alah bisa tegal biasa’ oleh mereka sejak sekian lama yang terpaksa menghidu bau kurang enak lebih-lebih lagi ketika hujan lebat.

Katanya, punca bau busuk di kawasan anak sungai Sebulung berpunca daripada saliran yang tidak diselenggara dengan konsisten sejak sekian lama.

“Rasanya ada lebih 10 tahun hidup kami ini semua hidu busuk sebegini, awak pun boleh hidu sendiri.

“Sebenarnya kita di sini tiada kerja-kerja pembersihan yang sistematik, kebanyakan nak tunggu sultan bersuara baru nak bergerak.

“Masalah manusia-manusia tidak bertanggungjawab pun satu masalah, buang sampah sesuka hati. Ini semua punca-punca masalah berlaku,” katanya.

Tebing anak sungai berkenaan turut dipenuhi pelbagai sampah sarap terutama botol plastik yang dipercayai tersangkut apabila air pasang di situ.

Kata Ahshamari, kejadian banjir kilat kerap melanda kawasan berkenaan setiap kali air pasang besar diikuti hujan lebat lebih dua atau tiga jam.

Jelas beliau, tahun ini sahaja lebih tiga kali banjir kilat melanda kawasan kampung itu dan apa yang dikesalkan ialah penduduk terlibat dituduh tidak berdisiplin dan tidak bertanggungjawab.

Pada Khamis lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya segera menjalankan kajian ke atas kawasan yang kerap berlaku banjir kilat di negeri ini.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda mahu kedua-dua pihak berkenaan segera mempersembahkan laporan kajian berkenaan berikutan banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di bandar raya ini selepas hujan lebat lebih tiga jam pada hari tersebut.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dalam kenyataannya berkata, kerja pembersihan telah dilaksanakan mulai Jumaat dan Sabtu lalu secara manual dengan menggunakan jentera berat seperti jengkaut dan kren bagi tujuan pembersihan sampah di laluan saliran utama. – MalaysiaGazette