Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap kepada media selepas Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2021 di Laman Kompleks Perbadanan Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 05 OKTOBER 2021.

PUTRAJAYA – Kemelut politik yang berlaku di Melaka sekarang akan diselesaikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tindakan segera telah diambil Ahmad Zahid apabila mengadakan perbincangan dengan Perhubungan UMNO di negeri itu.

Jelas beliau, sebaik-baik isu yang menyebabkan Kerajaan Melaka pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang hilang sokongan itu dapat diselesaikan dalam kalangan pemimpin parti negeri.

“Isu Melaka ini melibatkan parti dan kita serah kepada presiden parti UMNO untuk selesai isu ini. Saya difahamkan beliau telah berbincang dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka.

“Jadi kita serah kepada presiden. Biar Melaka (Perhubungan UMNO negeri) selesaikan isu ni,” katanya yang juga Perdana Menteri selepas melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2021 di sini hari ini.

Semalam, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, bersama tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Bebas mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Tiga ADUN terbabit adalah Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Ditanya sama Pilihan Raya Negeri (PRN) akan berlaku di Melaka, Ismail Sabri berkata, ia bergantung kepada keputusan Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Mohd Ali Mohd Rustam.

Namun jelas beliau, rakyat bimbang jika PRN diadakan ketika penularan wabak Covid-19 ini.

Menurutnya, sebagai contoh di Sabah, kes Covid-19 naik semula selepas PRN diadakan di negeri itu.

“Saya faham dan dengar apabila media sosial saya dihujani dengan pelbagai pandangan dan ramai bimbang dan takut kalau ada PRN macam Sabah.

“Sabah dulu kes turun rendah tapi disebabkan PRN akhirnya meningkat semula.

“Bagaimanapun jika diadakan, saya tahu ada atau tidak dan kalau ada sekali pun saya percaya SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) akan keluar prosedur operasi standard (SOP) ketat.

“Saya juga percaya kita akan bincang Kementerian Kesihatan Malaysia tapi setakat ini masih awal dan tak tahu apa berlaku kita tunggu apa yang di putus TYT Melaka,” katanya. – MalaysiaGazette