Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – AirAsia Group Berhad (AAGB) telah menerima kelulusan oleh Danajamin Nasional Berhad (Danajamin) untuk 80% pinjaman yang dijamin sehingga RM500 juta di bawah Skim Jaminan PRIHATIN Danajamin, yang merupakan sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi Malaysia berikutan pandemik Covid-19.

Pinjaman tersebut telah diluluskan oleh pemberi pinjaman AAGB di bawah kemudahan pembiayaan bersindiket, dengan jaminan oleh Danajamin melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP), sebuah entiti milik penuh Kementerian Kewangan.

Jaminan dari Kerajaan Malaysia melalui Danajamin/SJPP mencerminkan sokongan yang kukuh terhadap AAGB dalam persediaannya untuk memastikan ia berada dalam kedudukan yang teguh bagi menyediakan perkhidmatan kepada negara dan masyarakat, seterusnya memainkan peranan penting dalam membina semula ekonomi negara untuk kembali pulih daripada pandemik Covid-19.

Pembiayaan bersindiket tersebut diperuntukkan untuk modal kerja, yang akan menampung kos kakitangan dan perbelanjaan operasi utama seperti penyelenggaraan pesawat dalam persediaan AAGB untuk meningkatkan operasinya sempena pembukaan semula sempadan domestik dan antarabangsa dalam waktu terdekat.

Pengerusi Eksekutif AirAsia Datuk Kamarudin Meranun berkata, kelulusan daripada Kerajaan Malaysia ini merupakan sokongan yang kuat terhadap kemampuan AirAsia Group untuk pulih dengan lebih cepat dan memacu keseluruhan strategi pengumpulan dana kami dalam persediaan kami untuk kembali beroperasi di semua pasaran utama syarikat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast