Dua ekor babi dipercayai tinggalkan penyewa di sebuah kediaman elit di Tasek Mutiara, Simpang Ampat, Pulau Pinang.

SIMPANG AMPAT –  Tindakan penyewa meninggalkan dua ekor babi yang dibela di sebuah  rumah teres dua tingkat di Tasek Mutiara di sini, menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan jiran tetangga.

MalaysiaGazette difahamkan, babi yang dijadikan sebagai haiwan peliharaan itu dibiarkan tanpa penjagaan yang baik selepas ditinggalkan sejak Jun lalu.

Wakil penduduk yang mahu dikenali sebagai Ima berkata, mereka menyedari kewujudan dua ekor babi itu pada September lalu apabila melihat kelibat haiwan berkenaan di pekarangan sebuah unit kediaman dalam kawasan perumahan elit tersebut.

Ima.

Jelas wanita itu, kewujudan haiwan tersebut menimbulkan rasa kurang senang, selain diragui kebersihan kawasan sekitarnya.

Meskipun begitu, atas dasar prihatin terhadap haiwan yang kelaparan akibat ditinggalkan,  jiran berhampiran terpaksa memberi makanan walaupun tidak bersetuju dengan tindakan pemilik kediaman yang membiarkan haiwan walaupun tahu ia telah ditinggalkan oleh penyewa.

“Susulan itu, kami membuat aduan kepada pihak pengurusan perumahan berkenaan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil termasuk menghubungi pemilik kediaman memandangkan penduduk perumahan di sini terdiri daripada pelbagai kaum.

“Bagaimanapun, sehingga hari ini haiwan tersebut masih berada dalam pekarangan rumah berkenaan dan pihak pengurusan memberi alasan isu itu dalam pengetahuan mereka dan tindakan sedang dijalankan.

“Kami sangat kesal dengan tindakan pihak pengurusan yang dilihat seolah-olah tidak memandang serius isu ini, sekali gus menyebabkan perkara ini masih berlarutan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Babi itu dilihat berkeliaran tanpa penjagaan dalam pekarangan kediaman tersebut.


Mengulas lanjut, Ima berkata, dia membuat aduan rasmi kepada pihak Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) berhubung perkara ini ini dan mereka tampil ke lokasi semalam bagi melihat gambaran sebenar.

“Saya difahamkan notis saman telah dikeluarkan kepada pemilik kediaman berkenaan dan pihak MBSP memberi masa selama tiga hari kepada pemilik rumah bagi memindahkan haiwan tersebut.

“Masa yang diberikan sehingga Jumaat ini, namun kami memohon kepada MBSP supaya memindahkan haiwan itu menggunakan undang-undang sedia ada, bukan sahaja bagi kesejahteraan kejiranan tetapi kebaikan haiwan itu juga yang perlu dijaga,” katanya yang sudah menetap di kawasan perumahan itu sejak dua tahun lalu.

Penduduk kawasan perumahan teres kesal babi dibela sebagai haiwan peliharaan.

Tambah Ima, isu sebegini perlu ditangani segera kerana babi bukannya boleh dijadikan haiwan peliharaan di kawasan perumahan masyarakat majmuk.

“Selain itu, tindakan tegas yang diambil berhubung isu ini juga boleh dijadikan teladan agar perkara yang sama tidak berulang pada masa depan atau di tempat lain,” katanya.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette pada jam 10 pagi tadi mendapati dua ekor babi itu masih berada di pekarangan kediaman dua tingkat yang pagarnya berkunci.

Tiada kelibat pemilik kediaman di lokasi. – MalaysiaGazette