Kompleks Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan.

SEREMBAN – Seorang ahli jawatankuasa sebuah kuil dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah berkaitan sebuah patung kuil, tiga tahun lepas.

Datuk M.Natarajen, 39, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Mengikut pertuduhan, Natarajen yang merupakan ahli jawatankuasa Kuil Sri Balanthandayuthabani, Rantau di sini dituduh melakukan pecah amanah berhubung sebuah patung batu Dewa Gabro Dewa Murugan yang diamanahkan kepadanya untuk pembaikan namun tidak mengembalikan patung itu tetapi menyerahkan patung lain yang menyerupai patung asal.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kuil berkenaan di Rantau pada April dan Mei 2018 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai selain melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan 10 Nov untuk serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Christopher Enteri Anak Mawan manakala tertuduh diwakili peguam S. Karthigesan, M. Manoharan dan AR Thamayanthy.

— BERNAMA