Kawasan yang telah dibersihkan dan diindahkan di Taman Daya Kepong kembali menjadi tempat longgokan sisa sampah.

KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kesal kawasan hotspot tapak sampah longgok di Taman Daya Kepong yang telah dibersih dan diindahkan seminggu lalu kini kembali kepada asalnya.

Pemantauan yang dijalankan mendapati kawasan itu dipenuhi semula dengan sisa sampah pukal dan industri.

MPS berkata, pihaknya telah mengambil inisiatif melaksanakan Program Pengindahan Hotspot Sampah Longgok dengan menggunakan tayar-tayar terbuang untuk dijadikan landskap kejur di kawasan berkenaan bagi menghalang aktiviti lambakan sampah pukal yang tidak terkawal.

Usaha itu dilakukan bersama Ahli Majlis Kawasan Zon 19, Tam Kar Lye dan KDEB Waste Management Sdn Bhd.

Namun, usaha-usaha kelestarian dan pengindahan yang telah dijalankan ini menjadi sia-sia apabila individu yang tidak bertanggungjawab telah membuang sampah di kawasan tersebut.

Lokasi longgokan sampah sebelum kawasan ini dibersihkan oleh MPS dan KDEB Waste Management Sdn Bhd.

”MPS amat kesal dengan tindakan individu yang tidak mempunyai kesedaran sivik yang jelas tidak menghargai inisiatif yang dilaksanakan oleh MPS bagi mewujudkan persekitaran yang bersih dan indah,” katanya di sini.

Walaubagaimanapun, bagi memastikan kawasan tersebut kembali bersih, MPS sekali lagi telah membuat pembersihan di kawasan tersebut semalam.

MPS berharap perkara ini tidak kembali berulang dan orang ramai juga disarankan untuk menjadi mata dan telinga bagi melaporkan perbuatan pembuangan sampah longgok di kawasan awam. – MalaysiaGazette