Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

KUALA LUMPURĀ  – Sebanyak 79 projek perumahan swasta meliputi 17,724 unit rumah disahkan terbengkalai di Semenanjung Malaysia mengikut Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) sehingga 30 September lalu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kesemua projek itu melibatkan 11,824 orang pembeli yang melibatkan 79 projek.

Jelas beliau, ia membabitkan sebanyak 38 projek iaitu 11,511 unit rumah yang melibatkan 6,319 pembeli sedang dalam peringkat perancangan bagi mengenalpasti kaedah dan mekanisme untuk memulihkan projek tersebut melalui penyelesaian yang dipersetujui bersama oleh pemaju penyelamat dan pembeli.

“Sebanyak 26 projek iaitu 3,383 rumah yang melibatkan 2,806 pembeli dalam peringkat statik yang mana sedang dalam penyelesaian isu perundangan.

“Manakalaa sebanyak 15 projek iaitu 2,830 rumah yang melibatkan 2,699 pembeli dalam peringkat sedang dipulihkan,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang-BN) yang bertanya mengenai keseluruhan projek perumahan terbengkalai mengikut pecahan negeri sehingga 2021 dan apakah punca ia berlaku serta apakah penyelesaian kementerian terhadap perkara itu.

Mengulas lanjut, Reezal Merican menambah, bagi pemulihan projek perumahan swasta terbengkalai di Sabah dan Sarawak dipantau secara terus oleh kerajaan negeri masing-masing mengikut Enakmen Pemajuan Perumahan (Kawalan Dan Pelesenan) 1978 bagi negeri Sabah dan Ordinan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan 1993 dan Peraturan-peraturan pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1998 bagi negeri Sarawak

Jelas beliau, sejak tahun 2009 hingga September lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya menyelesaikan projek perumahan swasta terbengkalai sebanyak 215 projek, 59,090 unit rumah yang melibatkan seramai 39,247 orang pembeli.

“Berdasarkan analisis yang dijalankan oleh KPKT, punca kepada 79 projek perumahan yang terbengkalai telah diklasifikasikan kepada kategori antaranya tahap kewangan syarikat yang lemah sebanyak 65 projek (82.3 peratus); tidak memenuhi syarat pembangunan yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri sebanyak empat projek (5.1 peratus).

“Selain itu, kategori lain adalah kelemahan pengurusan projek oleh syarikat sebanyak dua projek (2.5 peratus) dan pemaju asal tidak dapat dikesan,” katanya. – MalaysiaGazette