Datuk Ismail Ibrahim

JOHOR BAHRU – Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) menawarkan kombinasi geran, elaun serta latihan kemahiran bernilai RM1 juta kepada usahawan belia yang bermaustatin di Johor.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, program yang ditawarkan Iskandar Malaysia Youth Hub (HAB) itu adalah bagi membantu golongan belia yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Program yang dinamakan Iskandar Malaysia Youth Entrepreneur Scheme (IMYES) diperkenalkan sejajar dengan agenda kemakmuran ekonomi dan inklusif wilayah berkenaan, bersempena ‘Kempen Peringatan 15 tahun Iskandar Malaysia’ (IM15CC).

“Program Iskandar Malaysia Youth Entrepreneur Scheme  diperkenalkan sejajar dengan agenda kemakmuran ekonomi dan inklusif wilayah ini dan bersempena ‘Kempen Peringatan 15 tahun Iskandar Malaysia (IM15CC).

“Kami yakin bahawa program yang berbentuk bantuan menyeluruh ini akan dapat mengalakkan semangat keusahawanan dan mengurangkan kadar pengangguran di kalangan belia. Ini merupakan salah satu komponen penting dalam menangani kesan pandemik Covid-19.

“Dengan peruntukan sebanyak RM1 juta, usahawan belia sama ada individu atau perusahaan kecil dan sederhana (PKS), akan mendapatkan geran sebanyak RM5,000, elaun dan latihan kemahiran dalam lapan modul termasuk keusahawanan, kewangan, penjualan dan pemasaran selain trend terkini dalam digitalisasi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

IRDA yakin program berbentuk bantuan menyeluruh itu dapat mengalakkan semangat keusahawanan dan mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia di negeri ini, sekali gus menjadi komponen penting dalam menangani kesan pandemik Covid-19.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, geran yang dipohon mestilah untuk kegunaan membeli mesin dan peralatan, barang mentah, pembelian kredit dan untuk tujuan promosi dan pemasaran.

Katanya, belia yang berminat mestilah warga negara Malaysia, berusia di antara 18 dan 35 tahun selain menetap di Johor.

“Belia yang berminat juga diwajibkan untuk menghadiri sesi penerangan sebelum membuat permohonan supaya mendapat penjelasan yang lebih mendalam.

“Hanya mereka yang berjaya dalam permohonan mereka akan diberi makluman dan perlu pula menghadiri lapan modul latihan sebelum menerima geran.

Bagi mendapat maklumat lanjut dan mendaftar, mereka yang berminat perlu mengisi borang khas di pautan www.iskandarmalaysia.com.my/hab/imyes.

Sementara itu, Ismail berkata, program IMYES adalah satu daripada program di bawah inisiatif SECURE@IskandarMalaysia yang turut menawarkan pelbagai bantuan daripada segi kewangan dan latihan.

“Ini termasuk bantuan kewangan berkaitan perniagaan untuk kumpulan B40 dan kumpulan rentan, bantuan kewangan dan latihan untuk pertanian bandar, geran untuk perniagaan berdasarkan trak dan perkongsian fasiliti,” katanya. – MalaysiaGazette