Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad (tengah) menyaksikan penyerahan plak jalinan kerjasama dari Penasihat Agama Pertubuhan Kasih Neelofa Muhammad Haris Mohd Ismail (dua kiri) serta Pengerusi Pertubuhan Kasih Neelofa, Noor Neelofa Mohd Noor (kiri) kepada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Prihatin Nasional, Datuk Mohd Aizuddin Mohd Ghazali (kanan) pada Program Kasih Prihatin-Maiwp di Surau Al-Mustaqim Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 06 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Usahawan dan selebriti sensasi, Neelofa memberi jawapan selamat dengan berjanji akan berkongsi berita jika beliau hamil pada waktu yang sesuai.

Beliau tidak mahu menjawab persoalan mengenai kehamilannya buat masa ini kerana ia dianggap sensitif bagi sesetangah individu.

“Perkara ini (pengakuan tentang kehamilan) sensitif bagi sesetengah orang. Semua ada alasan tersendiri. Kalau betul, Insya-Allah saya akan kongsikan pada waktu yang sesuai.

“Kalau benarlah desas-desus itu betul atau pun tidak, saya akan menanti masa tepat untuk berkongsi dengan orang ramai kerana jika ada berita gembira yang kita mahu dengar, pasti kita mahu doa orang ramai.

“Rakan-rakan artis yang lain pun sama, jika mereka turut mendapat berita sama (mengandung), pastinya mereka menanti saat yang tepat untuk dikongsikan.

“Insya-Allah jika saya ada berita gembira itu, pada masa yang tepat nanti mesti saya kongsikan,” katanya ketika ditemui pada majlis sumbangan program Bakul Kasih PRIHATIN-MAIWP di Surau Al- Mustaqim, PPR Pinggiran Bukit Jalil semalam.

Sejak beberapa bulan lalu khabar angin mengenai kehamilan bekas pengacara MeleTOP itu hangat diperkatakan selepas dia dilihat menunjukkan tanda-tanda mengandung apabila asyik mengusap bahagian perutnya pada siaran langsung menerusi Instagram mempromosi tudung keluarannya.

Selain itu, paling ketara bentuk badannya yang dilihat seperti hamil ketika Neelofa hadir ke Mahkamah Seremban bagi sebutan semula kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) pada 24 September lalu.

Biar pun tetap berteka-teki, Neelofa yang turut ditemani suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail, atau PU RizĀ  memperlihatkan baby bump dengan jelas dalam busana putihnya.

Sebelum ini, kedua-dua pasangan yang mendirikan rumah tangga di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 27 Mac lalu selesa mendiamkan diri daripada menjawab sebarang spekulasi. – MalaysiaGazette