Agensi Kelayakan Malaysia merancang kerjasama dengan Yayasan Sukarelawan Siswa dalam memberi panduan penawaran kursus micro-credential.

KUALA LUMPUR – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) merancang kerjasama dengan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) dalam memberi panduan penawaran kursus micro-credential.

Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata pihaknya menjangka kursus itu mendapat sambutan baik daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan sama ada dari universiti awam (UA) atau IPT swasta.

Katanya, pelajar boleh mendapatkan pengalaman kemahiran kesukarelawanan apabila menyertai kursus anjuran YSS, pada masa sama mendapat kredit daripadanya menerusi micro-credential.

“Dengan peluang ini diharapkan lebih ramai pelajar IPT menyahut seruan untuk menyumbang bakti kepada masyarakat di samping membina potensi diri ke peringkat global.

“YSS entiti di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan mereka sinonim dengan kerja kesukarelawanan di dalam dan luar negara, justeru sangat signifikan bagi YSS untuk menawarkan program bersifat micro-credential terutama dalam konteks kesukarelawanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata demikian ketika pertemuan perbincangan awal dengan Ketua Pegawai Eksekutif YSS, Wong Kin Lun mengenai penawaran program berkenaan di Mercu MQA, baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Kanan (Pembangunan Dasar dan Kepakaran) MQA, Mohamad Dzafir Mustafa; Pengurus Bahagian Pengurusan Korporat YSS, Runiy Maldud; Ketua Jabatan Perancangan dan Pelaksanaan Aktiviti YSS, Abdul Rahim Rahman; Ketua Unit Centre of Volunteer Excellence and Efforts (CoVE), Fazirah Naser dan Eksekutif CoVE, Aina Shatar.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, YSS sudah dikenali di peringkat antarabangsa dalam konteks penganjuran program kesukarelawanan terutama di negara Asia Tenggara seperti Cambodia, Vietnam dan Laos.

Beliau berkata, program anjuran YSS turut mendapat penyertaan ratusan pelajar IPT tempatan dan luar negara.

“MQA menyarankan YSS untuk menawarkan program micro-credential berdasarkan peringkat asas, pertengahan dan lanjutan, justeru diharap pelajar tidak kira sama ada dari dalam atau luar negara merebut peluang mengikuti program anjuran YSS itu apabila mula ditawarkan nanti.

“Kemahiran menerusi kesukarelawanan ini juga akan memberi nilai tambah kepada pelajar seterusnya mampu meningkatkan kebolehpasaran mereka apabila tamat pengajian nanti,” katanya. – MalaysiaGazette