KUALA LUMPUR – Institut Maritim Malaysia (MIMA) menyokong kerajaan dalam usaha menangani isu pembaikan kabel bawah tanah, iaitu dengan memendekkan tempoh proses kelulusan Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL)  daripada tujuh hari kepada tiga hari.

Mengikut rekod, kerajaan telah mengeluarkan 10 DSL kepada dua buah kapal asing dalam tempoh Disember 2020 sehingga Ogos 2021.

Perlu diteliti dari segi prospek pelaburan, pelabur-pelabur asing amat menitikberatkan pelbagai faktor pelaburan dalam sesebuah negara khususnya hal kestabilan politik, ekonomi, produktiviti, kapasiti, dan kepakaran.

Menurutnya, para pelabur asing yang arif dengan persekitaran ekonomi Malaysia sudah tentu tidak menjadikan dasar kabotaj semata-mata penghalang untuk membuat pelaburan baharu.

Meneliti kepada laporan kajian The Effectiveness of the Cabotage Policy Liberasation in Sabah and Sarawak (MIMA, 2021), MIMA bersetuju supaya pihak kerajaan terus memperkukuh dasar kabotaj Malaysia bagi menyokong industri perkapalan tempatan di samping menjaga keselamatan negara.

Malah kenyataan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong di Dewan Rakyat baru-baru ini disambut dengan penuh optimis.

Sebagai pemikir hal ehwal maritim, MIMA turut cakna terhadap kesan keputusan itu terhadap industri perkapalan, industri telekomunikasi, serta Internet.

Keputusan yang dibuat adalah bagi meningkatkan industri perkapalan Malaysia, kata MIMA.

MIMA yakin sektor perkapalan, telekomunikasi, dan digital adalah sama pentingnya dengan ekonomi dan pekerjaan Malaysia.

Sektor perkapalan Malaysia perlu terus dilindungi bagi mengelak peningkatan defisit pembayaran, keselamatan pengangkutan yang lemah, kehilangan hasil, pekerjaan, reputasi, dan pengaruh dalam organisasi antarabangsa khususnya di Pertubuhan Maritim Antarabangsa.

Lagipun, ujarnya, Kementerian Pengangkutan Malaysia telah melaksanakan Dasar Kabotaj sejak tahun 1980-an bagi melindungi daya saing industri perkapalan Malaysia serta kedaulatan perairan negara.

Dasar ini secara langsung mengehadkan pengangkutan barangan yang beroperasi di perairan Malaysia kepada kapal-kapal tempatan. Namun dasar kabotaj yang sebelum ini sudah dilaksanakan lebih 30 tahun di Malaysia, kemudiannya telah diliberalisasikan selama tiga tahun, iaitu pada tahun 2017 sehingga 2020.

Kajian dasar kabotaj telah dilaksanakan secara komprehensif dengan meneliti pelbagai aspek yang membabitkan pihak berkepentingan serta pemegang taruh di Malaysia juga melibatkan kajian kuantitatif yang mengambil pendapat masyarakat serta pemain industri di Sabah dan Sarawak.

Dalam hal ini, keselamatan perairan negara merupakan faktor utama dasar kabotaj dilaksanakan kembali di samping bagi mendukung perkembangan industri maritim tempatan.

Namun ia bukan bermaksud Kerajaan Malaysia tidak memberikan sebarang inisiatif kepada kapal asing.

Hal ini perlu melalui proses yang ditetapkan oleh Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Laut Malaysia.

Sehubungan itu, Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 telah dipinda, dan Lembaga Perlesenan Pengiriman Domestik (DSLB) ditubuhkan bagi membolehkan polisi tersebut dikuatkuasakan.

Maka pengecualian kabotaj untuk kapal asing hanya dibenarkan melalui DSLB. – MalaysiaGazette