Petugas membuat pemeriksaan tren LRT laluan Ampang/ Sri Petaling yang tergelincir semasa melalui suis landasan rosak di Stesen Chan Sow Lin menyebabkan gangguan perkhidmatan ketika tinjauan Lensa MalaysiaGazette di Cheras, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 28 MEI 2026.

 

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak seharusnya menjadi “terkenal” kerana gangguan perkhidmatan LRT dan MRT yang kerap kerana sistem pengangkutan awam berkenaan menjadi tulang belakang pergerakan rakyat serta pelancong.

Pengerusi Biro Pelancongan MCA, Lawrence Chiew Kai Heng berkata, gangguan berulang bukan sahaja menyusahkan penumpang, malah boleh menjejaskan keyakinan terhadap sistem pengangkutan awam dan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan moden.

Menurutnya, bagi pelancong, kerosakan tren secara tiba-tiba boleh menyebabkan mereka terlepas bas, tren atau penerbangan, sekali gus mengganggu keseluruhan jadual perjalanan.

Lawrence Chiew Kai Heng

“Ini amat membimbangkan ketika kerajaan giat menarik lebih ramai pelancong menerusi Tahun Melawat Malaysia 2026 dan membuat persiapan bagi acara antarabangsa utama, termasuk perlumbaan Formula Satu (F1) yang akan datang.

“Kita tidak boleh membelanjakan jutaan ringgit untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi bertaraf dunia, hanya untuk membiarkan sistem pengangkutan awam mengecewakan pengunjung,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menggesa Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, serta agensi dan pengendali berkaitan mengambil serius isu berkenaan dengan memperkukuh penyelenggaraan dan langkah pencegahan.

Katanya, masalah perlu dikenal pasti dan ditangani sebelum berlaku kerosakan, bukannya menunggu sehingga penumpang terkandas.

Menurut Lawrence, komuter tempatan turut menanggung kesan apabila gangguan tren menyebabkan pekerja tiba lewat, terlepas janji temu atau berdepan masalah dengan majikan.

“Pelajar, khususnya mereka yang sedang membuat persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), turut bergantung kepada pengangkutan awam untuk ke sekolah dan pusat peperiksaan.

“Mereka tidak sepatutnya berdepan risiko terlepas peperiksaan penting hanya kerana perkhidmatan pengangkutan yang tidak boleh dipercayai,” tambah beliau lagi.

Beliau berkata, kerajaan telah membuat pelaburan besar dalam infrastruktur pengangkutan awam dan rakyat sewajarnya mendapat sistem yang selamat, cekap, boleh dipercayai serta pantas bertindak apabila berlaku masalah.

Lantaran itu, katanya, Kementerian Pengangkutan, agensi dan pengendali perlu menjalankan kajian menyeluruh terhadap gangguan berulang, memperkukuh penyelenggaraan pencegahan dan memastikan pelan tindak balas kecemasan diaktifkan dengan segera apabila berlaku gangguan.

“Jika Malaysia mahu menjadi destinasi pelancongan terkemuka, pengangkutan awam yang boleh dipercayai tidak boleh dipandang sebagai perkara sampingan. Ia mesti menjadi keutamaan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here