Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Perwakilan di 95 bahagian Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) seluruh negara akan bersidang bermula 10 Oktober hingga 26 November ini.

Mereka akan mengadakan pemilihan untuk pertama kali bagi tahun 2021/2023 untuk mengisi jawatan Ketua, Timbalan, Naib dan Ahli Jawatankuasa Bahagian.

Menurut Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali, selain peringkat bahagian, turut bersidang ialah Pergerakan Wira, Wiranita, Wirawati dan cawangan di seluruh negeri, sekali gus tidak lagi bertaraf penaja.

Kata beliau, Perhimpunan Agung Putra kali kedua pula akan diadakan pada 26 Disember ini, manakala sayap-sayap sehari sebelum.

“Persidangan Agung pusat tidak ada pemilihan kerana telah diadakan dengan sempurna dan jayanya pada persidangan pertama tahun 2020 bagi sesi kepimpinan 2020-2023.

“Memandangkan negara masih lagi dalam pandemik Covid-19, maka persidangan bagi semua peringkat ini akan diadakan secara dalam talian.

“Ini berlandaskan dengan keizinan dan kebenaran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

“Saya ucapkan selamat bersidang kepada perwakilan tiga sayap Putra iaitu Wira, Wiranita, Wirawati, bahagian dan cawangan seluruh negara.

“Saya harap semua kekal patuhi SOP keselamatan dan kesihatan serta sentiasa mematuhi perlembagaan parti sepanjang persidangan dan bersamalah kita putuskan rantaian Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kata Dr. Ibrahim, Putra dalam usia lebih dua tahun telah telah membuat pencapaian luar biasa, antaranya memperolehi sijil sah untuk penubuhan 95 daripada 158 bahagian di seluruh negara.

Menurut beliau, baki sebanyak 63 bahagian lagi kelulusannya masih dalam proses dan sijilnya dijangka diperolehi dalam masa terdekat.

“Dengan ini, Putra layak untuk mengadakan persidangan tahunan buat pertama kalinya dengan penyertaan daripada 95 bahagian,” katanya. – MalaysiaGazette