Lima ahli sindiket penipuan alat ganti kenderaan 'fly by night’ dibawa ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Seorang pemilik sebuah syarikat alat ganti kenderaan dan empat pekerjanya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen menipu syarikat pembekal alat ganti dengan melakukan pembayaran perbankan berjadual atau Inter Bank Giro (IBG) berjumlah RM630,200.

Tertuduh Ng Chong Chai, 60, selaku pemilik Syarikat Ban Heng Auto Part bersama empat pekerjanya Lai Wei Kiat, 23; Lee Juan Sheng, 24; Leong Yue Long, 25 dan Tan Wai Teck, 26 membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut fakta pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa secara bersama-sama menipu Syarikat Vanli Auto Spares Sdn Bhd dengan menyerahkan resit pembayaran berjadual IBG.

Tindakan itu bagi mempercayai bahawa pembayaran telah dibuat sehingga mendorong syarikat tersebut menyerahkan barangan alat ganti kenderaan kepada Syarikat Ban Heng Auto Part berjumlah RM630,200 secara berperingkat.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Batu 3, Jalan Ipoh, di sini, antara 8 Mac hingga 12 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibacakan bersama Sekyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Zulaaikha Mohd Apandi mencadangkan kepada mahkamah supaya setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM200,000.

Bagaimanapun, peguambela Muhammad Amin Abdullah yang mewakili Chong Chai, Wei Kiat, Juan Sheng dan Tan Wai Teck manakala Johan Radzi bagi pihak Yue Long, merayu mahkamah agar anak guam mereka dibenarkan ikat jamin dengan nilai rendah dengan alasan mereka mempunyai masalah kesihatan, tidak berkemampuan membayar jaminan tinggi selain perlu menyara keluarga di bawah tanggungan mereka.

Selepas mendengar permohonan dan hujah daripada kedua-dua pihak, Kamarudin membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin.

Beliau turut mengarahkan kesemua tertuduh memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan passport perjalanan kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 2 Disember depan untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette