Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai keputusan mutlak untuk menentukan sama ada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka wajar ditangguhkan atau sebalik.

Bagi perkara itu, UMNO menyerahkan sepenuhnya kebijaksanaan kerajaan dan SPR yang tentukan akan mendapat pandangan serta nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan diadakan atau ditangguhkan haruslah dipertimbangkan dengan sebaiknya oleh kedua pihak berkenaan.

Kata beliau, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka memaksa PRN perlu diadakan dalam masa 60 hari.

“Sedangkan, ramai yang gusar ia akan mencetuskan satu lagi gelombang kejangkitan Covid-19 seperti berlaku di Sabah tahun lepas.

“Telah ada semacam konsensus di kalangan pakar dan pengamal perubatan negara bahawa PRN Melaka tersebut harus di tunda sehingga wabak ini benar-benar reda.

“Walaupun kadar vaksinasi penuh untuk golongan dewasa telah hampir 90 peratus, kadar jangkitan masih boleh menaik dengan mendadak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, walaupun UMNO yakin dengan Sains dan kehidupan berdemokrasi mesti dipulihkan, kebimbangan kumpulan perubatan mempunyai asas kukuh dan wajar diberikan perhatian penting.

Kata Mohamad, rakyat Malaysia mungkin memerlukan masa untuk beralih kepada fasa endemik dan hidup dengan kehadiran virus ini.

Namun, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu, terpulang kepada kerajaan untuk memutuskan yang terbaik untuk rakyat Melaka dan Malaysia khususnya.

“Insya-Allah yang terbaik itu adalah keutamaan kepada nyawa, kesihatan dan kemaslahatan umum.

“Yang pasti penyelesaian krisis politik Melaka akan kembali ditentukan oleh rakyat juga akhirnya tetapi pada masa dan ketika yang sesuai,” katanya. – MalaysiaGazette.