Orang awam golongan remaja dan dewasa memenuhi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Axiata Arena Bukit Jalil bagi mendapatkan suntikan Vaksin sempena Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 05 OKTOBER 2021. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Hanya tinggal 0.9 peratus sahaja lagi untuk mencapai tahap 90 peratus populasi dewasa yang lengkap vaksin Covid-19 sebelum aktiviti rentas negeri dibenarkan.

Berdasarkan laman sesawang COVIDNOW setakat tengah malam tadi, seramai 20,856,337 individu atau 89.1 peratus populasi dewasa telah lengkap dos suntikan manakala 1,296,965 atau 5.5 peratus mendapat sekurang-kurangnya satu dos.

Bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK-Remaja), seramai 2,156,346 individu berusia 12 hingga 17 tahun atau 4.7 peratus telah lengkap dos suntikan manakala, 2,008,408 remaja mendapat satu dos.

Keseluruhan populasi penduduk Malaysia yang lengkap suntikan dos vaksin adalah 21,004,275 individu atau 64.3 peratus.

Mengikut unjuran dalam tempoh 40 hari, negara akan mencapai tahap 80 peratus populasi penduduk lengkap suntikan dos pada 17 November depan.

Sebanyak 196,647 dos harian telah diberikan semalam menjadikan jumlah keseluruhan sejak PICK dilancarkan pada Februari lalu adalah sebanyak 45,204,479 dos. – MalaysiaGazette