Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad menyempurnakan gimik pelancaran pada Program Cinta Rasulullah sempena pelancaran bulan dakwah YADIM di Studio TV Al Hijrah, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 08 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mensasarkan lebih dua juta penyertaan untuk Bulan Dakwah 2.0 bermula dari 8 Oktober hingga 31 Disember ini.

Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan berkata, bagi tujuan itu sebanyak 3,000 program dilaksanakan untuk menjayakannya berbanding tahun lepas.

Katanya, ia merupakan program tahunan dan kali kedua diadakan dengan tujuan meraikan kelahiran Nabi Muhammad S,A.W dan dibuat untuk kempen dan mempromosikan gerak kerja dakwah di negara ini.

“Oleh sebab itu YADIM mengangkat bulan dakwah ini sebagai satu kempen untuk menggerakkan dakwah di seluruh negara sepanjang masa,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Bulan Dakwah YADIM 2.0, di sini hari ini.

Nasrudin berkata, banyak penambahbaikan dibuat untuk program kali ini dan kali ini kualiti penyampaian dakwah turut dipertingkatkan untuk golongan sasar.

Turut diperkemaskan katanya, iaitu keberkesanan aktiviti supaya ia tidak lagi jadi aktiviti biasa sebaliknya memberi impak kepada golongan sasar.

Menerusi penganjuran ini juga kata beliau, YADIM mempunyai objektif untuk mempromosi Islam dan melestarikan dakwah dengan cara yang berhikmah.

Antara program besar yang bakal dilaksanakan ialah Tazkirah 24 Jam Tapa Henti Sirah Al Nabawiyah Al Rahiq Maukhtum, (sebuah kitab pengkisahan junjungan besar Nabi Muhammad SAW), Akademi Daie Muda YADIM dan Bengkel Murobbi Rakan Belia YADIM Peringkat Kebangsaan.

Turut akan diadakan ialah Konvensyen Dakwah Negara 2021, Program Motivasi Khas Ujian Penilaian Kelas KAFA, Kursus Fundamentals & Basics Of Interfaith (FBI), program bersama penghuni penjara, kembara dakwah, menyantuni golongan rentan, program kesukarelawanan bersama golongan selebriti dan lain lain lagi acara di seluruh negara.

Menerusi Bulan Dakwah, YADIM berhasrat untuk menjadikan dakwah sebagai budaya masyarakat bagi menyeru ke arah kebaikan dan menonjolkan keindahan Islam, melahirkan pendakwah yang berpengetahuan luas dan berkemahiran tinggi serta mempunyai kebijaksanaan dalam menyampaikan dakwah.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad hadir melancarkan program berkenaan yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen Al-Hijrah.

Program tersebut turut bertujuan menjalin jaringan dengan pelbagai pihak sama ada di peringkat agensi, badan bukan kerajaan dan aktivis dakwah bagi menyemarakkan kegiatan dakwah kepada masyarakat. – MalasyiaGazette