Onn Hafiz Ghazi

JOHOR BAHRU – Kira-kira 100 murid Tahun Satu hingga Tiga yang menghadapi  masalah pembelajaran dipilih mengikuti program tuisyen percuma menerusi Program Mahir Membaca anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang di Kluang bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, program yang dikendalikan tiga orang guru hingga Disember tahun ini, adalah untuk membantu memahirkan murid khususnya dari aspek pembacaan.

“Tumpuan utama murid yang masih belum boleh dan tidak mahir membaca dalam Bahasa Melayu khususnya mereka yang tidak mengenal huruf.

“Program ini juga secara tidak langsung membolehkan mereka membiasakan diri apabila memulakan pembelajaran secara bersemuka tahun depan memandangkan hampir dua tahun tidak bersekolah akibat penularan wabak COVID-19,” katanya.

Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang berkata, tiga kawasan dijadikan lokasi program berkenaan iaitu Felda Layang-Layang, Balai Raya Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kampung Chokro dan Pusat Khidmat DUN Layang-Layang.

“Selain pembelajaran di dalam kelas, setiap pelajar juga akan dibekalkan bahan pendidikan yang diperlukan dan bersesuaian secara percuma sepanjang tempoh program ini dilaksanakan,” katanya sambil menambah tuisyen itu diadakan dua kali seminggu iaitu pada setiap Jumaat dan Sabtu. – Bernama