Seorang peserta memegang poster semasa berarak ke Bangunan Perdana Putra pada himpunan JUSTICE4ADIB Solidariti Suara Ummah di perkarangan Masjid Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 21 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Langkah kerajaan mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh dan telus terhadap kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim disambut baik Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

Presidennya, Adnan Mat berkata, kongres itu berharap penubuhan jawatankuasa khas tersebut akan membawa sinar baharu kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib serta keluarganya.

“Keputusan yang dibuat oleh kerajaan adalah sejajar dengan hasrat CUEPACS dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sendiri serta keseluruhan rakyat Malaysia agar kematian arwah adib dapat diberikan keadilan yang sewajarnya mengikut lunas undang-undang negara.

“Cuepacs menghargai dan berterima kasih atas keputusan kerajaan dalam meneruskan siasatan kes kematian arwah Muhammad Adib,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adnan menyatakan demikian bagi mengulas pengumuman  Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengenai penubuhan jawatankuasa yang akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Jawatankuasa itu akan dianggotai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Tambah Adnan, pihaknya berharap agar keadilan terhadap arwah Muhammad Adib dan keluarganya diteruskan sehingga pesalah yang terlibat menerima hukuman setimpal.

Kes yang melibatkan arwah Muhammad Adib ini tidak boleh dipandang remeh dan pesalah yang terlibat harus dicari dan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas, ujarnya.

“Cuepacs berharap tempoh enam bulan yang diberikan kepada anggota jawatankuasa yang ditubuhkan ini digunakan sepenuhnya bagi menyelesaikan segala persoalan yang timbul disebalik kematian arwah Muhammad Adib.

“Dapatan daripada siasatan kes ini perlu dimaklumkan kepada umum bagi menjamin ketelusan siasatan,” katanya.

Pada 27 November 2018, Muhammad Adib mengalami kecederaan parah semasa kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya.

Allahyarham meninggal dunia akibat kecederaan ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara pada 17 Disember tahun yang sama.

Satu inkues dilakukan berikutan perselisihan pendapat mengenai punca kematiannya, sama ada disebabkan oleh kemalangan atau serangan yang disengajakan.

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Adib disebabkan oleh perlakuan jenayah oleh lebih daripada dua atau tiga orang yang tidak dikenali. – MalaysiaGazette

Kabinet tubuh jawatankuasa khas siasat kematian Adib