Pandelela Rinong

KUALA LUMPUR – Ratu terjun negara, Pandelela Rinong, merupakan antara 17 penerima pingat Panglima Setia Bintang Sarawak (PSBS) yang membawa gelaran ‘Datuk’ sempena ulang tahun Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud, hari ini.

Pemenang pingat perak dan gangsa sukan Olimpik berusia 28 itu antara 1,326 penerima darjah kebesaran dan pingat.

Mengetuai senarai penerima darjah kebesaran ialah bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abang Ahmad Urai Abang Mohideen yang menerima darjah Datuk Amar Bintang Kenyalang (D.A) yang membawa gelaran ‘Datuk Amar’.

Turut menerima darjah yang sama, bekas anggota kabinet pertama Sarawak selepas pembentukan Malaysia pada 1963, Allahyarham Datuk Seri Pengiran Hipni Pengiran Annu.

Enam lagi menerima darjah Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’.

Mereka ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri; Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin; Peguam Besar Negeri Sarawak, Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid; Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Datuk Dr Wan Lizozman Wan Omar dan ahli perniagaan, Datuk Kho Kak Beng.

Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak, Abdullah Saidol dan ahli perniagaan, James Ling Lu Kiong pula menerima darjah Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran ‘Datuk’. – MalaysiaGazette