Tommy Thomas Anwar Ibrahim PM
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Satu pasukan petugas khas ditubuh bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan diambil terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan itu akan menyiasat dakwaan-dakwaan yang dibuat Tommy di dalam bukunya yang bertajuk ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

“Pasukan petugas khas siasatan yang dicadangkan ini antara lain bertujuan untuk menyiasat dakwaan Tommy Thomas mengenai penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ismail, pasukan petugas itu akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara yang akan dilantik dalam masa terdekat.

Sementara itu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) akatn bertindak sebagai urusetia, ujarnya.

Pada Februari lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 134 laporan terhadap Thomas berhubung penerbitan buku yang didakwa mengandungi fakta tidak benar, menghina dan berunsur fitnah menyaksikan tiga kertas siasatan dibuka.

Thomas disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu memfitnah, Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 203A Kanun Keseksaan (membocorkan maklumat) dan Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.

Untuk rekod, buku autobiografi Thomas ‘My Story: Justice in the Wilderness’ menceritakan pengalaman Thomas sepanjang menjadi peguam negara ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast