Azman Adam

KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat menjual produk makanan tambahan kesihatan yang mengaku bersalah menjalankan urus niaga jualan langsung tanpa lesen sah dan penggubahan wang haram dikenakan denda lebih RM5 juta baru-baru ini.

Denda  sebanyak RM150,000 telah dikenakan di bawah kesalahan Seksyen 4(2) AJLSAP 1993 kerana menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen dan RM5 juta lagi atas kesalahan Seksyen 4(1) AMLATFPUAA 2001 menerima wang berjumlah RM450,000.00 hasil daripada aktiviti haram.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, berdasarkan maklumat dan bukti yang diperolehi semasa serbuan, syarikat itu disyaki telah melakukan suatu kesalahan pengubahan wang haram di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) iaitu melibatkan diri, secara langsung atau tidak langsung, dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram dan memperoleh, menerima, memiliki hasil daripada aktiviti haram tersebut.

Syarikat ini telah didakwa atas enam pertuduhan menerima wang berjumlah RM450,000.00 hasil daripada aktiviti haram daripada urusniaga jualan langsung tanpa lesen sah iaitu melibatkan tiga akaun semasa syarikat di tiga buah bank di antara 17 September 2017 sehingga 6 Disember 2017 dan 14 November 2018 sehingga 21 November 2018.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Ahmad Kamar Jamaludin pada 4 Oktober 2021.

Azman berkata, sepanjang tempoh 2016 sehingga 2021 KPDNHEP telah melaksanakan tindakan ke atas beberapa kes melibatkan jualan langsung dan skim anti piramid sehingga ke peringkat pelucuthakan dengan nilai RM55,998,196.06 dan denda sebanyak RM17 juta.

Tegas beliau, KPDNHEP akan sentiasa memantau dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana syarikat yang menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen yang sah serta aktiviti skim piramid yang menyalahi undang-undang ini.

Oleh itu, pengguna diingatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan aktiviti jualan langsung tanpa lesen yang sah atau berunsurkan skim piramid ini. – MalaysiaGazette