Home Nasional Dua parah, seorang patah kaki dalam kemalangan libat empat kenderaan

Dua parah, seorang patah kaki dalam kemalangan libat empat kenderaan

KUALA LUMPUR РDua mangsa parah manakala seorang patah kaki dan tangan dalam satu kejadian kemalangan jalan raya melibatkan empat buah kenderaan di Batu 23,  Jalan Ulu Yam, Gombak pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kejadian dilaporkan berlaku pukul 8.06 pagi itu melibatkan empat buah kenderaan.

Kemalangan itu dipercayai berlaku semasa sebuah kereta jenis Mitsubishi Lancer yang dalam perjalanan dari arah Selayang menghala ke Ulu Yam.

“Semasa tiba di tempat kejadian, pemandu kereta Mitsubishi Lancer cuba memotong sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang berada di hadapan pada lorong yang sama tetapi gagal kerana terdapat sebuah lori jenis Isuzu datang dari arah bertentangan sebelum telah cuba masuk semula ke lorong kiri dan hilang kawalan dan bergesel dengan Perodua Bezza.

“Akibat dari pelanggaran itu kereta Perodua Bezza juga telah hilang kawalan sebelum masuk ke lorong bertentangan dan telah melanggar lori Isuzu yang datang dari arah bertentangan.

“Dalam masa yang sama, sebuah lagi kereta jenis Volkswagen dari arah belakang tidak sempat mengelak dan tmelanggar kereta Perodua Bezza,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat kemalangan ini, dua daripada lima orang penumpang Perodua Bezza mengalami kecederaan parah di bahagian leher manakala seorang lagi patah kaki dan tangan.

Tiga lagi penumpang hanya cedera ringan dan kesemua mangsa telah dikejarkan ke Hospital Selayang manakala pemandu dan penumpang kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan kes disiasat dibawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 dan boleh dihukum penjara 12 bulan jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp Mohamad Suhaimi bin Tukiman di talian 013-7557556 atau Bilik Gerakan Ibu
Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.-MalaysiaGazette