Polis menemui mayat seorang pekerja kedai perabot di sebuah bilik sewa di rumah papan, disyaki dibunuh dalam kejadian petang semalam di Taman Serdang Utama, Kampung Baru Seri Kembangan. Gambar :Kumara Sabapatty

KUALA LUMPUR – Polis menahan seramai 11 individu termasuk seorang wanita disyaki terlibat dalam kes kematian pekerja perabot  dengan kesan tetakan di  Taman Serdang Utama, Kampung Baru Seri Kembangan petang semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA. Anbalagan berkata, pihaknya telah selesai mengambil keterangan daripada 11 individu yang terdiri daripada sembilan warga tempatan dan dua warga asing termasuk seorang wanita untuk membantu siasatan.

“Kesemua individu itu kemudian telah ditahan polis selepas memberi keterangan dan mereka direman pagi ini di Mahkamah Majistret Petaling Jaya selama lima hari bermula hari ini sehingga 14 Oktober ini siasatan dan tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi pagi tadi.

Tambah Anbalagan, polis masih dalam proses mengesan senjata yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah pembunuhan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pekerja kedai perabot ditemui mati dengan kesan tetakan

Kesemua individu itu berusia lingkungan antara 33 hingga 64 tahun dan kenalan simati.

“Sementara itu, proses bedah siasat ke atas mayat si mati dijangkakan jam 11 pagi pada 11 Oktober 2021 selepas proses saringan dan keputusan Covid-19 diperolehi.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” tegasnya.

Dalam kejadian sekitar 6 petang semalam, polis menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita sebelum memaklumkan seorang lelaki ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di sebuah bilik rumah papan di Jalan Kuyuh, Taman Serdang Utama.

“Si mati dijumpai terbaring dan ada kesan darah pada kepala dan badan di sebuah bilik kecil bersebelahan bilik tidurnya selain polis menemui beberapa kesan tetakan pada kepala, rusuk kanan, belakang badan, dan kedua-dua belah lengan simati,” katanya dalam kenyataan awal pagi tadi.- MalaysiaGazette