Rodzi Md. Saad

KUALA LUMPUR – Untuk hari ketiga berturut-turut, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak merekodkan lokaliti baharu untuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Malah, lokaliti dilanjutkan tempoh PKPD juga tidak direkodkan, sekali gus menyaksikan kejayaan kerajaan melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 di seluruh negara.

Menurut Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md. Saad, hanya yang direkodkan KKM dan MKN ialah dua lokaliti yang ditamatkan pelaksanaan PKPD.

Lokaliti itu ialah Kampung Orang Asli Sungai Mai, Jerantut dan Kampung Inoi di Rompin Pahang yang akan tamat bermula esok, 11 Oktober 2021.

Kampung Inoi ialah Kampung Orang Asli Pinggiran yang mula dilaksanakan PKPD pada 28 September lalu.

Ini serentak dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang tadi, bahawa negara telah mencapai 90 peratus populasi dewasa yang lengkap dua dos vaksin, hari ini. – MalaysiaGazette