Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Deputi Superintendan Khairul Azhar Ismail.

JOHOR BAHRU- Keadaan aliran trafik keluar masuk Lebuhraya Utara Selatan dan jalan negeriĀ  di Johor dijangka meningkat 40 peratus bermula Khamis ini berikutan kebenaran rentas negeri.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Deputi Superintendan Khairul Azhar Ismail berkata, jumlah purata harian kenderaan dianggarkan kira-kira 19,000 ke 21,000.

Bagaimanapun setakat hari ini, keadaan aliran trafik masih terkawal.

“Kenderaan dijangka akan meningkat pada hujung minggu di Johor kerana Khamis adalah cuti umum dan pergerakan kenderaaan keluar dari Johor juga akan bertambah.

“Bermula hari Jumaat hingga hari minggu kenderaan pastinya melebihi jumlah hari kebiasaan,” katanya ketika ditemui ketika menjalankan tinjauan aliran trafik di Plaza Tol Skudai di sini hari ini.

Khairul Azhar berkata, pemantauan yang dijalankan sejak awal pagi tadi mendapati pergerakan kenderaan di lebuh raya terkawal dan tiada kesesakan luar biasa.

“Pada kadar kebiasaannya, purata kenderaan harian yang melalui Lebuhraya Utara Selatan adalah kira-kira 17,000 kenderaan sehari,”katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bermula esok secara serentak di seluruh negara.

Dalam pada itu, Khairul Azhar berkata, pengguna jalan raya diingatkan supaya merancang perjalanan sebaiknya dan memastikan kenderaan masing-masing berada dalam keadaan baik.

Tambahnya, orang ramai juga diingatkan untuk memastikan tahap kesihatan diri dalam keadaan yang baik selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kebenaran rentas negeri ini juga terpakai kepada kenderaan perdagangan dan tidak ada sekatan dikenakan kepada kenderaan berat itu untuk beroperasi.

“Oleh itu, pengguna jalan raya diingatkan untuk mematuhi peraturan undang-undang lalu lintas,” katanya.- MalaysiaGazette