Ashish Mishra. foto ANI

NEW DELHI – Anak lelaki seorang menteri persekutuan India telah ditangkap enam hari selepas dia dituduh terlibat dalam kejadian yang menyebabkan lapan orang mati.

Ashish Mishra telah direman selama 14 hari.

Sebuah kereta yang dipercayai ada kaitan dengan ayahnya, Menteri Dalam Negeri Ajay Mishra, merempuh para petani yang melakukan protes di negeri Uttar Pradesh, membunuh empat orang.

Para ptani mendakwa Ashish Mishra menjadi dalang di sebalik kejadian itu namun dinafikan Mishra.

Petani-petani yang naik angin ekoran kejadian itu bertindak memukul hingga mati tiga lelaki di dalam kereta berkenaan termasuk pemandu.

Seorang wartawan juga mati dalam keganasan itu.

Polis menahan Ashish Mishra pada Sabtu lalu setelah menyoal siasatnya selama lebih daripada 12 jam.

Dia diberitahu untuk hadir di pejabat polis untuk disoal siasat pada hari Jumaat tetapi gagal berbuat demikian.

“Kami menahan Ashish Mishra. Dia tidak bekerjasama dalam siasatan,” kata Timbalan Ketua Polis, Upendra Agarwal kepada Reuters.

Polis menahan dua lelaki lain berkaitan dengan kejadian pada hari Khamis beberapa jam setelah Mahkamah Agung meminta pemerintah negeri untuk membuat laporan mengenai siasatan tersebut.

Pegawai negeri juga melantik hakim yang telah bersara untuk mengetuai suruhanjaya itu bagi menyiasat serangan tersebut.

Tetapi pada hari Jumaat, mahkamah tinggi “tidak berpuas hati dengan langkah yang diambil (oleh pemerintah negeri)” dan bertanya kepada polis mengapa anak menteri itu tidak ditangkap ketika dia dituduh melakukan jenayah serius seperti pembunuhan.

Ketua Hakim Negara NV Ramana mengatakan, mahkamah itu tidak meluluskan penubuhan kumpulan penyiasatan khas yang ditubuhkan oleh pemerintah negeri kerana “orang-orang di dalam suruhanjaya itu, semuanya adalah pegawai daerah”.

Kenyataan itu dibuat semasa perbicaraan di mahkamah setelah dua peguam dari Uttar Pradesh menulis surat kepada ketua hakim, meminta siasatan dijalankan oleh persekutuan mengenai kejadian itu.

Keganasan itu, yang berlaku di daerah Lakhimpur pada hari Ahad, menyaksikan peningkatan dramatik dalam protes berusia 10 bulan terhadap reformasi pertanian yang dilalui oleh pemerintah Parti Bharatiya Janata (BJP) tanpa perbincangan substantif di parlimen tahun lalu.

Puluhan ribu petani telah berkumpul di luar di pinggir New Delhi sejak November, menuntut agar undang-undang itu ditarik balik.

Ini adalah salah satu protes terpanjang yang dipimpin oleh petani, yang menyaksikan petani menyalahkan Perdana Menteri Narendra Modi dan pemerintah BJPnya.

Dua pekerja BJP adalah antara mereka yang dipukul hingga mati oleh orang ramai pada hari Ahad. – BBC