KUALA LUMPUR – Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) hari ini melancarkan kemudahan pendaftaran akaun dalam talian dan onboarding pelanggan digital (e-KYC1), serta fungsi pelaburan yang berasaskan matlamat dalam aplikasi mudah alih myASNB (aplikasi).

Ciri onboarding mudah alih baharu ini membolehkan warga Malaysia membuka akaun melalui aplikasi myASNB tanpa perlu berkunjung ke cawangan atau ejen ASNB.

Selain itu, pelanggan juga boleh mengemas kini butiran peribadi secara terus di portal dan aplikasi mudah alih myASNB, sekali gus membolehkan mereka memulakan pelaburan di rumah sendiri.

Seiring dengan penambahbaikan aplikasi ini, ASNB juga telah melancarkan kempen #JomLabur yang akan berlangsung sehingga hujung tahun ini.

Kempen ini menawarkan peluang kepada semua pemegang unit untuk memenangi hadiah-hadiah bernilai sehingga RM200,000.

Sementara itu, fungsi pelaburan baharu yang berasaskan matlamat, Target Labur, telah direka untuk mendorong setiap individu mencapai matlamat kewangan mereka seperti membeli hartanah, menyimpan untuk persaraan, merancang percutian atau mengetepikan sejumlah dana untuk pendidikan anak-anak.

Selain daripada matlamat pelaburan yang telah ditetapkan, pemegang unit juga boleh menetapkan matlamat pelaburan mereka sendiri.

Fungsi Target Labur dilancarkan kepada pemegang unit secara berperingkat pada 8 Oktober 2021, bermula dengan kumpulan umur 18-34 tahun dan untuk semua pengguna aplikasi myASNB bermula pada 29 Oktober 2021.

Pengguna aplikasi myASNB sedia ada dinasihatkan mengemas kini aplikasi agar dapat menggunakan fungsi baharu ini.

Sejajar dengan ciri-ciri baharu ini, ASNB melancarkan kempen #JomLabur untuk memberi ganjaran kepada pemegang unit yang menetapkan sekurang-kurangnya dua matlamat yang bernilai RM5,000 setiap satu.

Kempen yang berlangsung dari 8 Oktober hingga 31 Disember 2021, disokong oleh Kumpulan UMW, Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet),
Jirnexu Sdn Bhd (syarikat induk RinggitPlus.com) dan GrabCar Sdn Bhd.

Pemegang unit yang menetapkan dua matlamat dengan jumlah sasaran sekurang-kurangnya RM5,000 setiap satu akan berpeluang memenangi hadiah-hadiah seperti sebuah Toyota Vios, sebuah Toyota Yaris, dua buah iPhone 12, tiga buah iPad, 30 pas akses RinggitPlus Financial Planner, atau
200 baucar GrabFood.

Penambahbaikan terhadap aplikasi myASNB ini bertujuan untuk melancarkan dan memudahkan aktiviti pelaburan semua warga Malaysia dalam usaha mencapai matlamat kewangan mereka, juga sebahagian daripada Strategi Pendigitalan ASNB. – MalaysiaGazette