Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli bersetuju untuk mengambil inisiatif bagi mengurangkan jumlah bayaran bagi pendaftaran baharu dan juga pembaharuan semula lesen langganan perkhidmatan MyRTKnet sebanyak 50 peratus daripada RM1,000.00 setahun kepada RM500 setahun.

Kemudahan itu berkuatkuasa untuk tempoh satu tahun langganan sahaja kepada semua pengguna MyRTKnet yang baharu mendaftar atau pun memperbaharui lesen mereka antara 1 Oktober 2021 sehingga 30 September 2022.

Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pengurangan jumlah bayaran ini akan dinikmati sekurang-kurangnya seramai 383 orang pengguna berdaftar sedia ada dengan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang terdiri daripada jabatan kerajaan, agensi swasta, juruukur tanah berlesen, pihak sekolah dan juga universiti.

Perkhidmatan MyRTKnet merupakan perkhidmatan infrastruktur geodetik yang ditawarkan oleh JUPEM bagi memberikan kedudukan geografi atau koordinat yang jitu kepada semua pengguna alat-alat penentududukan sejagat (GPS).

Perkhidmatan ini juga telah terbukti dapat mempercepatkan kerja ukuran hakmilik dan pemetaan topografi di lapangan dan sangat penting terutamanya dalam mempercepatkan proses pengeluaran geran hakmilik dan pembangunan tanah yang akhirnya mampu memangkin peluang-peluang pembangunan ekonomi rakyat.

Takiyuddin menambah, melalui kemudahan ini, sekurang-kurangnya sebanyak RM191,500 penjimatan diberikan kepada semua pengguna berdaftar sistem MyRTKnet sedia ada dan dijangka terus bertambah dengan penarikan lebih ramai pendaftaran pengguna baharu.

Kemudahan yang diberikan ini adalah sebagai tanggungjawab sosial kementerian ini dalam mendukung inisiatif kerajaan bagi memulihkan semula ekonomi negara dan meringankan beban sektor ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette