Anggota Polis Diraja Malaysia(PDRM) yang bertugas menyimpan peralatan yang digunakan untuk sekatan jalan raya selepas kerajaan membenarkan rentas negeri kepada individu lengkap vaksin pada 11 Oktober ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Plaza Tol Bentong, Lebuh Raya Pantai Timur.

BENTONG- Dua Sekatan Jalan Raya (SJR) ditutup secara rasmi bermula 12 tengah malam tadi susulan pengumuman oleh Perdana Menteri memutuskan pergerakan rentas negeri dibenarkan mulai hari ini.

Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, dua SJR selepas Tol Bentong menghala ke Kuantan yang merupakan laluan masuk utama ke Pantai Timur dan SJR Jalan Kg. Simpang Durian, Manchis ditutup serentak.

Manakala SJR berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tinggi telah ditutup lebih awal iaitu pada 4 Oktober 2021 lalu.

“Sebanyak tiga SJR didirikan bermula pada 12 Januari 2021  di bawah pentadbiran IPD Bentong melibatkan SJR Tol Bentong menghala Kuantan, SJR depan SMK Bukit Tinggi Dan Jalan Kg. Simpang Durian, Manchis.

“Sejak 18 April 2020 sehingga 9 Oktober 2021 sebanyak 533 kompaun telah dikeluarkan terhadap pihak yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Antara kesalahan yang dikompaun ialah tidak memakai pelitup muka di tempat awam, tidak mengimbas My Sejahtera serta merentas daerah dan negeri tanpa dokumen yang sah.

Selain tiada permit pergerakan, terdapat kes pemalsuan dokumen yang mana borang rentas negeri dipalsukan melibatkan sebanyak enam kes dengan sembilan pesalah turut ditahan.

Dalam pada itu, Zaiham berkata, statistik anggaran pengguna jalan raya yang diperiksa sehari merekodkan seramai 7,624 orang.

“Anggaran patah balik sehari kurang daripada 10, manakala tahap peratusan pematuhan di daerah Bentong sebanyak 97%”. – MalaysiaGazette