Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pengurus pusat intervensi yang disyaki memukul seorang kanak-kanak autisme dalam kejadian 1 Oktober lalu akan dituduh di Mahkamah Ampang pada Rabu ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kertas siasatan sudah dirujuk ke Kamar Timbalan Pendakwa Raya untuk menuduh suspek mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

“Siasatan telah selesai dan kertas siasatan dirujuk ke Kamar Timbalan Pendakwa Raya hari ini. Wanita terbabit akan dituduh di Mahkamah Ampang pada pukul 10 pagi, Rabu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamad Farouk, bagi kesalahan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian kanak-kanak, jika sabit kesalahan suspek boleh di penjara sehingga 20 tahun atau denda.

Manakala bagi Seksyen 15 (1) Akta Imigresen 1952 iaitu tinggal lebih masa dan pas sosial tamat tempoh, suspek boleh di denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan.

Media sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang pengurus pusat intervensi selepas disyaki memukul seorang kanak-kanak autisme dalam satu kejadian di Bandar Baru Ampang, Ampang pada 1 Oktober.

Kata Mohamad Farouk, berdasarkan laporan yang diterima, seorang lelaki warga tempatan berusia 36 tahun yang juga bapa kepada kanak-kanak itu telah menghantar anaknya ke pusat berkenaan sekitar pukul 8.45 pagi.

Jelas beliau, bapa kanak-kanak berusia enam tahun sembilan bulan itu kemudian menjemput anaknya pulang sekitar pukul 12.45 tengah hari dan mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian bahu sebelah kiri dan kedua-dua belah mata.

Bapa mangsa yang curiga dengan perkara itu kemudiannya menyemak rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian dan mendapati suspek bertindak kasar dengan mangsa apabila kanak-kanak itu mengelak untuk makan. – MalaysiaGazette