Anggota ATM mengemas peralatan di SJR Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang susulan penutupan SJR seluruh negara bermula hari ini.

GEORGE TOWN – Laungan ‘terima kasih frontliner (petugas barisan hadapan) bergema ketika anggota penguat kuasa sekatan jalan raya (SJR) di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini melakukan kerja-kerja penutupan operasi berkuat kuasa pukul 12 tengah malam tadi.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati kebanyakan pengguna jalan raya yang melalui laluan itu memperlahankan kenderaan masing-masing sebelum menurunkan tingkap kereta serta melambai kepada anggota yang bertugas sebagai tanda penghargaan kepada mereka.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, penugasan SJR tersebut sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) pada 10 Mei lalu memberikan pelbagai pengalaman baru buat anggota yang bertugas.

Soffian merakamkan ucapan terima kasih atas jasa anggota bertugas di SJR berkenaan.

Jelas beliau,  pelbagai suka duka ditempuh oleh anggota bertugas dalam tempoh lima bulan SJR berkenaan dilaksanakan.

“Semua pengalaman yang dilalui anggota membuatkan mereka lebih cekal secara fizikal dan mental khususnya dalam memastikan keselamatan rakyat terus terpelihara.

“Kita boleh lihat dalam tempoh penugasan di SJR anggota berdepan pelbagai cabaran termasuk bertugas di bawah terik matahari, hujan serta memyambut beberapa perayaan di jalan.

“Malah, cabaran yang dihadapi itu bukan saja buat pihak polis malah pelbagai agensi bergemleng tenaga di SJR agar penugasan terlaksana lebih berkesan.

“Sehubungan itu, saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),@ katanya ketika ditemui media selepas membuat tinjauan penutupan SJR di sini hari ini.

Laluan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu dibuka sepenuhnya untuk orang awam bermula jam 12 tengah malam.

Penutupan SJR itu dibuat selaras dengan pengumuman yang dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media khas semalam yang bersetuju membenarkan individu yang sudah lengkap vaksinasi Covid-19 melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu mendapatkan kebenaran polis.

Mengulas lanjut Soffian berkata, walaupun SJR dihentikan secara rasmi, anggota polis akan melakukan pemantauan di kawasan-kawasan tumpuan di daerah Timur Laut bagi memastikan orang ramai terus mematuhi prosedur opeprasi standard (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19.

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan orang ramai yang sudah mula teruja untuk merentas negeri atau pulau ke kampung agar memastikan tidak memandu secara merberbahaya sebaliknya terus mematuhi semua undang-undang dan peratuan jalan raya. – MalaysiaGazette