Azli Yusof

KUALA LUMPUR – Walaupun agak terlewat, langkah Kementerian Kesihatan melaksanakan Sistem FTTIS iaitu Kenalpasti, Uji, Kesan, Kuarantin dan Sokong bagi mengawal penularan wabak Covid-19 disambut baik masyarakat awam khasnya rakyat Selangor.

Ini kerana, kata Timbalan Pengerusi Amanah Selangor, Azli Yusof, kerajaan negeri lebih awal menyahut tuntutan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaksanakan Sistem FTTIS melalui aplikasi Selangkah.

Katanya, ia terbukti telah banyak membantu kerajaan mengawal penularan wabak Covid-19, khususnya di Selangor.

Beliau yang juga Pengarah Penerangan Pakatan Harapan (PH) Selangor menjelaskan, Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC19) yang terdiri dari pakar perubatan berkaitan telah lama mendesak, memberi nasihat dan advokasi agar Kementerian Kesihatan memberi keutamaan pelaksanaan FTTIS dengan kadar segara.

“Data dan maklumat diperolehi FTTIS sangat berguna untuk mengenalpasti dan mengawal penularan wabak secara bersasar dan berkesan.

“Ia juga membolehkan kerajaan negeri melaksanakan program pemberian vaksin secara menyeluruh melalui Program Vaksinasi Selangor (SELVAX) kepada rakyat Selangor sekali gus membantu kerajaan Persekutuan mencapai sasaran imuniti kelompok dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Azli berharap, Sistem FTTIS itu bukan sahaja dapat menurunkan kadar kes baharu Covid-19, malah memastikan bibit-bibit kes dan kluster baharu dikesan lebih awal agar sokongan wajar dapat diberikan, seterusnya memberi perlindungan maksima penularan wabak secara meluas.

Secara psikologi pula, katanya, pelaksanaan Sistem FTTIS juga akan mengurangkan tekanan mental dan kebimbangan orang ramai.

“Seterusnya ia boleh memberi keyakinan kepada orang ramai yang telah mula keluar bekerja dan berniaga, merentas negeri untuk berziarah dan melancong serta mengunjungi tempat tumpuan awam setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan baru-baru ini,” katanya. – MalaysiaGazette