Milos Zeman. Foto: Facebook

PRAGUE – Presiden Republik Chech, Milos Zeman dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) semalam selepas pembangkang memenangi pilihan raya parlimen pada Sabtu lalu.

Rakaman video di luar kediaman presiden di Lany menunjukkan Zeman, 77, dikejarkan ke hospital tentera di ibu negara Chech, Prague dengan ambulan yang diiringi polis dan limosin.

“Sebab kemasukan ke hospital ini ialah komplikasi daripada penyakit yang mana beliau terima rawatan,” kata doktor Zeman, Miroslav Zavoral seperti dipetik UPI.

Zeman yang menggunakan kerusi roda menghidapi penyakit kencing manis dimasukkan ke hospital selama lapan hari pada bulan lalu selepas mengalami kepenatan dan dehidrasi.

Berikutan nasihat doktor, Zeman mengundi dari kediamannya pada Jumaat lalu.

Sebelum dipindahkan ke hospital, Zeman menemui Perdana Menteri, Andrej Babis dan Parti ANO yang kalah dengan jumlah yang sedikit daripada dipilih semula.

Parti ANO mendapat 27.1 peratus undi berbanding gabungan Spolu ymemperolehi 27.8 peratus undi dengan Babis terjebak dalam skandal Pandora Papers.

Parti ANO turut memenangi kebanyakan kerusi dalam kalangan parti individu tetapi ia tidak dapat mendapat majoriti dalam rumah perwakilan di parlimen

Sebelum ini Zeman berkata, beliau akan memilih pemenang  terbesar parti individu, bukan gabungan parti, bagi membentuk kerajaan baharu.

Bagaimanapun pemimpin gabungan PirStan, Ivan Bartos berkata, perbincangan dengan Spolu ‘tentang kemungkinan membentuk kerajaan baharu mungkin akan dilakukan’.

“Penguasaan Andrej Babis telah berakhir, dan parti demokratik telah menunjukkan era kekacauan berada di belakang kita,” kata Bartos. – Agensi