Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad semasa mengadakan pertemuan bersama pelanggan pada Hari Bertemu Pelanggan di Menara Usahawan,, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 12 OKTOBER 2021.

PUTRAJAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad mengambil pendekatan membuka pejabatnya di sini setiap hari Selasa kepada orang ramai.

Ia bagi melaksanakan Hari Bertemu Pelanggan (HBP) bersamanya setiap minggu.

Beliau berkata, utama program HBP  untuk memberi peluang kepada orang ramai yang ingin membuat aduan atau pertanyaan, menyampaikan maklumat serta membuat permohonan.

Menurutnya, ia melibatkan perkhidmatan agensi-agensi di bawah seliaan beliau seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera.

“Program HBP merupakan inisiatif dan idea saya untuk bertemu dan beramah mesra dengan orang ramai dari pelbagai peringkat meliputi orang perseorangan, syarikat swasta, ahli perniagaan, pertubuhan bukan kerajaan, kepimpinan masyarakat dan sebagainya.

“Program ini diadakan setiap Selasa bermula hari ini bertempat di Lobi Menara Usahawan, Persiaran Perdana , Presint 2,, Putrajaya,” katanya pada sidang selepas HBP di Menara Usahawan di sini hari ini.

Abdul Latiff menambah, bagi setiap minggu hanya 10 pendaftaran terawal secara online akan terpilih untuk hadir dengan membuat temujanji tiga hari lebih awal.

Tempoh yang perbincangan ditetapkan hanya selama 10 minit sahaja .

“Setiap kehadiran juga diwajibkan untuk membuat saringan ujian Covid-19 bagi mengekang penularan wabak pandemik,” katanya. – MalaysiaGazette