Aaron Ago Dagang

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menggunakan pendekatan melaksanakan pelbagai SOP bagi mengekang golongan anti-vaksin bercampur gaul dalam kalangan mereka yang telah lengkap divaksinasi.

Timbalan Menteri II, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, antara SOP itu ialah memastikan setiap premis perniagaan dan kedai makan dine-in mensyaratkan pelanggannya mesti lengkap dua dos vaksin.

Katanya, walaupun kerajaan tidak mewajibkan setiap rakyatnya menerima vaksin, tetapi sebagai langkah menjaga keselamatan yang telah divaksinasi, maka SOP lengkap dua dos adalah syarat utama.

Berhubung jumlah anti-vaksin yang dikatakan mencecah sehingga 10 peratus dari populasi rakyat Malaysia, beliau berkata, mereka yang membangkitkan persoalan itu boleh membincangkannya.

Aaron Ago turut menjelaskan kepada Dewan Rakyat, sehingga 13 September lalu kerajaan telah menempah sebanyak 87.9 juta dos vaksin dengan anggaran kos kira-kira RM4.64 bilion termasuk logistik vaksin.

“Bagaimanapun, kos perolehan bagi setiap jenis vaksin telah dijelaskan KKM dalam prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan Mesyuarat Khas Parlimen ke-14 pada 2 Ogos lalu,” katanya di Parlimen hari ini.

Beliau berkata, antara negeri tertinggi menerima bekalan vaksin dari kerajaan ialah Selangor sebanyak 8.59 juta dos dan Johor 5.8 juta dos.

Ahli Parlimen Kanowit itu kemudian memberitahu, KKM tidak dapat menyatakan dengan terperinci mengenai vaksin kerana kerajaan terikat dengan Non Disclosure Agreement (NDA).

Katanya, NDA adalah syarat kerahsiaan yang ditetapkan syarikat pengeluar vaksin kepada pembeli dengan tidak mendedahkan maklumat terperinci setiap kejadian.

Menjawab soalan tambahan dari Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani, beliau berkata, kematian enam kanak-kanak akibat Covid-19 pada 2020 dan 67 pada tahun ini disebabkan belum ada vaksin untuk mereka.

“Kerajaan setakat ini belum lagi memutuskan pemberian vaksin kepada kanak-kanak bawah umur 12 tahun kerana masih menunggu maklumat dari pakar luar negara dan daripada kajian yang dilakukan dalam negara,” katanya. – MalaysiaGazette