KUALA LUMPUR – Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan lapan kenderaan di KM 42.7 Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur awal pagi ini mempunyai 27 saman.
Ketua Polis Daerah Bentong, Supt. Zaiham Mohd Kahar berkata, selain itu saman ke atas lori tersebut (kenderaan pertama) adalah sebanyak 14 saman pelbagai kesalahan.
Katanya, pemandu treler yang membawa cerucuk konkrit bertelulang berusia 49 tahun cedera parah dan kenderaan tersebut rosak teruk serta terbakar.
Dalam kejadian jam 3.40 pagi itu, tiga maut manakala lima lagi cedera parah.
Menurut Zaiham, mereka yang meninggal dunia ialah pemandu dan kelindan lori tiga tan (kenderaan kedua) yang dikenal pasti sebagai Muhamad Zaimi Shariff, 34, dan Muhammad Azizul Fitrie Md Zairi, 23, dan anggota polis berpangkat sarjan yang memandu kenderaan pelbagai guna jenis Mitsubishi Expander, Mohd Ridzuan Zulkafly, 40.
Tambahnya, beliau bertugas di Unit Dron, Pasukan Gerakan Udara, Bukit Aman manakala isteri beliau berusia 40 tahun dan dua anak mereka berusia 14 dan 11 tahun cedera parah.
Selain itu, seorang pemandu kereta Perodua Myvi (kenderaan kelapan) turut mengalami cedera parah.
Mengulas mengenai kemalangan tersebut, Zaiham berkata, siasatan mendapati lori yang dipandu Muhamad Zaimi (kenderaan kedua) mengubah haluan dari kiri ke kanan untuk memotong sebuah treler (kenderaan ketiga) yang berada di lorong kiri menyebabkan sebuah treler lain (kenderaan pertama) dari Rawang menghala ke Karak yang berada di lorong paling kanan cuba mengelak tetapi melanggar bahagian belakang lori Muhamad Zaimi.
“Akibat pelanggaran tersebut, kenderaan kedua (lori dipandu Muhamad Zaimi) hilang kawalan lalu merempuh bahagian belakang kenderaan ketiga (treler).
“Pelanggaran tersebut pula menyebabkan kenderaan pertama (treler) bergesel dengan pembahagi jalan di sebelah kanan sehingga terbakar dan muatan cerucuk konkrit bertelulang tercampak ke laluan bertentangan dan mengakibatkan kenderaan-kenderaan dari arah bertentangan iaitu kenderaan keempat (MPV) kenderaan ke 6 (Proton Saga), kenderaan ketujuh (Proton Saga) dan kenderaan kelapan (Perodua Myvi) merempuh cerucuk konkrit bertelulang yang berada di atas jalan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut Zaiham, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan berbahaya. – MalaysiaGazette