Yayasan Akalbudi corruption trial Ahmad Zahid Hamidi funds
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Dana Yayasan Akalbudi dikeluarkan untuk pelbagai perkara termasuk pembayaran kepada kelab bola sepak, kad kredit dan insuran kenderaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata, sebanyak 50 keping cek yayasan itu dikeluarkan untuk pelbagai tujuan antara 2014 hingga 2016.

Malah Yayasan Akalbudi milik bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pernah melakukan pembayaran kepada dua buah syarikat, ujarnya.

“Selain daripada 50 cek itu, sebanyak RM17.9 juta telah diambil dari Yayasan Akalbudi yang kemudiannya disimpan dalam tujuh akaun sebelum dipindah ke firma guaman Lewis & Co.

“Wang yang telah disalah guna ialah sebanyak RM31 juta. Tertuduh yang juga mantan Menteri Dalam Negeri mempunyai ‘kebebasan’ untuk menggunakan dana-dana tersebut dalam Yayasan tersebut,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 47 pertuduhan membabitkan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram milik Yayasan Akalbudi.

Kata Raja Rozela, dana yang telah dibelanjakan itu juga tidak mempunyai sebarang rekod mesyuarat Lembaga Pengarah mahupun Mesyuarat Agung Tahunan (AGM).

“Tidak ada rekod AGM atau mesyuarat lembaga pengarah yang meluluskan wang dibelanjakan ini.

“Bekas-bekas pemegang amanah Yayasan Akalbudi juga ‘patung boneka’ sahaja. Hakikatnya Ahmad Zahid yang mendominasi keseluruhan perjalanan Yayasan Akalbudi ini,” jelasnya.

Perbicaraan bersambung esok. – MalaysiaGazetet