Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 28 NOVEMBER 2019
Hassan Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Sampai masanya kerajaan menerusi Kementerian Kewangan memperkenalkan sistem percukaian yang lebih baik bagi membolehkan negara mendapat hasil untuk menampung perbelanjaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, antaranya penambahbaikan itu ialah menyiasat rakyat Malaysia yang membuat pelaburan di pusat kewangan pesisir luar yang diketahui tidak dikenakan cukai.

Katanya, mereka yang terlibat dengan isu Pandora Papers dikatakan mempunyai jumlah pelaburan terhimpun kira-kira RM1.8 trilion dan bebas daripada dikenakan sebarang cukai.

“Saya difahamkan, dari tempoh 2004 hingga 2015, seramai 1,500 rakyat Malaysia terlibat membuka akaun dan menanam saham mereka di pusat kewangan luar pesisir ini dengan jumlah terhimpun sebanyak RM1.8 trilion

“Mungkin maklumat ini bukan surat layang atau dengar cakap, jadi, saya mohon agensi penguatkuasa kerajaan seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri, polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengambil serius pendedahan Pandora Papers ini.

“Mereka kena siasat perkara ini, betul atau tidak. Mungkin dari 1,500 ini ada yang tidak melanggar peraturan negara dan mungkin ada yang langar. Yang langgar itu, agensi penguatkuasa kerajaan boleh ambil tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Levi Keuntungan Luar Biasa di Parlimen hari ini.

Katanya, beliau bersetuju dan menyokong pindaan RUU itu, dan ketika dalam RMK-12 memerlukan dana yang besar berjumlah RM400 bilion, di mana kerajaan hendak mendapatkan wang sebanyak itu.

“Di mana kerajaan nak dapat wang sebanyak itu dan tidak semestinya semua dana itu perlu dapat dari hutang. Ertinya, sistem cukai ini elok diperbaiki, kalau perlu dipinda, pindalah kerana ia akan memberi hasil kepada negara

“Dalam hal ini, saya lihat ada keperluan kerajaan untuk jangka panjang memperkenalkan sistem cukai. Begitu juga dengan cukai harta pusaka.

“Maka, dalam keadaan negara susah, ramai rakyat susah, orang yang kaya sama-samalah bantu rakyat miskin,” katanya.

Hassan berkata, beliau mengambil peluang pada sesi perbahasan itu untuk mendedahkan isu Pandora Papers kerana wang yang dikumpul di pusat kewangan pesisir luar dikecualikan dari cukai termasuk yang menyimpannya di Singapura. – MalaysiaGazette