Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Sesi Dewan Rakyat bagi mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen ke 14 berakhir hari ini setelah 17 hari bersidang.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun melahirkan rasa syukur kepada tiada Kluster Parlimen sepanjang sidang ini berlangsung sejak 13 September lalu.

“Pelbagai langkah telah diambil bagi memastikan persidangan ini berjalan lancar termasuk mewajibkan ujian RTK saliva secara berkala serta meningkatkan kualiti udara dalaman semua bangunan Parlimen.

“Hasilnya hanya 9 kes Covid-19 dilaporan yang semuanya berpunca daripada komuniti, syukur tiada jangkitan ataupun kluster berlaku dalam Parlimen Malaysia,” katanya sebelum menutup persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Untuk rekod, pada sesi Sidang Mesyuarat Khas Parlimen yang telah diadakan pada 26 Julai sehingga 29 Julai 2021 sebanyak 97 kes positif Covid-19 dikesan ketika itu.

Antaranya 56 kes telah dikenalpasti hasil saringan Pra-Dewan Rakyat dan lapan kes kontak rapat; 25 kes telah dikenalpasti berkaitan semasa persidangan Dewan Rakyat [18 kes dikesan dengan tujuh kontak rapat, di mana satu (1) kes telah meninggal dunia]; dan lapan (8) kes saringan Pra-Dewan Negara.

Dalam pada itu, Azhar Azizan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memastikan perjalanan sidang kali ini lancar.

“Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada KKM. Saya turut ingin menyucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang sudi mempengerusikan sementara beberapa kali sepanjang persidangan ini.

“Kesudian Ahli Parlimen Pengerang amat saya hargai,” katanya lagi.

Azalina sebelum ini dilihat beberapa kali duduk di kerusi Yang di-Petua Dewan Rakyat bagi mempengerusikan majlis persidangan Dewan Rakyat.

Tindakan itu selepas diminta oleh Speaker Datuk Azhar Azizan Harun untuk menggalas jawatan Timbalan Speaker buat sementara waktu.

Sesi mesyuarat kedua penggal keempat Dewan Rakyat dijadualkan akan bermula semula 25 Oktiber sehingga 16 Disember depan dengan tumpuan akan terarah kepada perbentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober depan.- MalaysiaGazette