resignation IRB CEO Najib Razak Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Sabin Samitah
Datuk Seri Sabin Samitah

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia enggan mengulas spekulasi peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Seri Sabin Samitah yang dikhabar pada Jumaat lalu.

“Kami tidak boleh mengulas, kena tanya sendiri tuan punya badan,” kata sumber kepada MalaysiaGazette.

Malah, sumber juga tidak dapat memastikan sama ada spekulasi peletakan jawatan Sabin ada kaitan dengan  dakwaan salah guna kuasa terhadap LHDNM mutakhir ini.

Sehingga berita ini ditulis LHDNM masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung isu tersebut.

Pada 9 September lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat laporan polis terhadap LHDN dengan mendakwa saman tuntutan cukai yang dikenakan kepadanya bermotifkan politik.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa, pegawai-pegawai LHDN dan ahli-ahli politik tertentu telah menyalahgunakan kuasa dan menggunakan dokumen palsu dengan tujuan menganiaya dirinya.

Katanya, tindakan itu sekali gus bercanggah dengan Seksyen 167, Seksyen 192, Seksyen 196, Seksyen 197 Kanun Keseksaan dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan jenayah berkenaan.

“Saya telah menerima banyak maklumat tentang denda cukai tambahan yang dikenakan terhadap saya. Ada yang datang menemui saya memohon maaf dan memberitahu bahawa kes cukai tambahan RM1.7b ini sebenarnya telah disiasat tiga kali sejak 2018.

“Malah mereka sendiri akui, setelah tiga kali siasatan itu dijalankan dengan penuh teliti, mereka tidak menemui apa-apa kesalahan yang dilakukan saya dan tiada penalti cukai yang patut dikenakan terhadap saya.

“Namun, selepas tiga kali siasatan itu selesai dan hasilnya jelas saya tidak melakukan sebarang kesalahan mengikut undang-undang, ada pegawai tertinggi LHDN yang mengarahkan untuk teruskan penalti cukai terhadap saya kerana telah diarahkan oleh ahli-ahli politik tertentu,” kata Najib menerusi hantaran di Facebooknya.

Kerajaan memfailkan saman terhadap Najib pada Jun 2019 bagi menuntut lebih RM1.69 bilion dengan kadar faedah lima peratus setiap tahun bermula dari tarikh penghakiman serta kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Beliau dilaporkan tidak mengisytiharkan kira-kira RM4 bilion dalam tempoh tersebut termasuk RM2.6 bilion yang didakwa penyiasat Amerika Syarikat berasal dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Heret dia ke mahkamah kerana salah guna kuasa dan mrmasulan dokimen. Berapa tahun duduk jalani hukuman penjara?

Comments are closed.