Siti Nurshuhaini Azman dan Letshanaa Karupathevan. Foto: Facebook BAM

KUALA LUMPUR – Kekalahan pemain perseorangan wanita sewaktu Piala Uber 2020 merekodkan penurunan dalam kedudukannya pada peringkat antarabangsa.

Pada Selasa lalu, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) telah merekodkan kedudukan dunia semasa yang dikemaskini setiap minggu.

Menerusi portalnya, Siti Nurshuhaini Azman yang tewas dengan pemain China, He Bing Jiao pada Ahad lepas jatuh enam anak tangga dengan menduduki kedudukan ke-461 berbanding ke-455 minggu lalu.

Turut merekodkan penurunan adalah Letshanaa Karupathevan yang jatuh satu anak tangga ke-778 setelah kalah dalam kesemua tiga perlawanan ketika menentang pemain Denmark, China dan Kanada.

Bagaimanapun, pemain perseorangan wanita negara Eoon Qi Xuan kekal di kedudukan ke-53 selepas menampilkan aksi cemerlang ketika menewaskan pemain kedudukan ke-23 dunia, Line Christophersen sekali gus menjadi penyumbang mata tunggal buat negara dalam perlawanan menentang Denmark.

Selain itu, Selvaduray Kisona juga kekal kedudukan di tangga ke-123 walaupun tewas ketika menentang Denmark dan Kanada minggu lalu.

Dua pasangan beregu negara Pearly Tan-Thinaah Muralitharan dan Teoh Mei Xing-Yap Ling pula kekal di kedudukan ke-18 dan ke-68 dunia. – MalaysiaGazette